Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Dengan Pesta Pengguna ke-25 yang dibuka secara rasmi pada 26 Mei 2021, banyak vendor tempatan telah kembali untuk mengambil peluang memperkenalkan produk mereka pada pameran tersebut. Salah satu vendor yang telah mengambil bahagian adalah syarikat IT tempatan yang terkenal iaitu Netcom Computer House.
Netcom Computer House amat komited untuk menyediakan kemajuan teknologi kepada pengguna Brunei, dengan membawa masuk lebih banyak jenama baharu, memperkenalkan teknologi baharu untuk pelbagai pengguna, baik gamer, perniagaan, pengguna umum mahupun pelajar.
Sepanjang pameran lima hari itu, Netcom memberi tumpuan kepada tiga jenama terbaharu yang diperkenalkan baru-baru ini, iaitu UGREEN, ANDASEAT dan ANTEC, dengan harga dan tawaran istimewa ditawarkan secara eksklusif untuk acara tersebut. Sementara itu, promosi Rush Hour untuk jenama kegemaran seperti Razer, Kingston dan Audio-Technica juga akan diadakan setiap 2 petang hingga 4 petang dan 7 malam hingga 9 malam.
