Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Netcom Computer House hari ini memperkenalkan komputer riba Dell terbaharu siri Inspiron dengan prosesor Intel Generasi ke-10 yang terkini, menampilkan reka bentuk menarik dan lebih segar.
Dengan bentuk yang tipis, ia mempunyai papan kekunci backlit dan ciri ExpressCharge Boost yang menakjubkan, membolehkan komputer riba itu dicas sehingga 80 peratus dalam masa paling pantas kurang sejam.
Inspiron Dell terbaharu ini juga didatangkan dengan empat kombinasi warna berbeza iaitu Platinum Silver, Iced Lilac, Iced Gold dan Iced Mint dengan saiz 13 hingga 15 inci.
Ia juga melonjakkan prestasi dengan rekaan baharu dan hayat bateri yang bertambah baik.
Ia juga disokong dengan Wi-Fi 6, standard Wi-Fi terkini yang baharu saja dipasarkan dan memudahkan pemindahan data yang lebih pantas dan kesalinghubungan yang baik.
Sempena ulang tahun ke-24 Netcom, pelanggan terutamanya pemilik kad Bank Baiduri boleh mendapat diskaun lumayan daripada harga yang tertera bermula hari ini sehingga awal Disember ini.
