THE HAGUE, 18 DIS – Pihak berkuasa Belanda mengenakan denda sebanyak 4.75 juta euro (AS$4.98 juta) ke atas gergasi penstriman video, Netflix, hari ini atas penggunaan data peribadi pelanggan yang didakwa tidak jelas atau tidak lengkap dalam beberapa aspek.
Netflix mengesahkan bahawa me-reka telah membuat rayuan terhadap denda tersebut, dengan menyatakan syarikat itu telah bekerjasama dengan pihak berkuasa perlindungan data dan telah meminda dasar-dasar mereka.
“Antara 2018 dan 2020, Netflix tidak memberikan maklumat yang mencukupi kepada pelanggan mengenai apa yang dilakukan syarikat dengan data peribadi mereka,” kata Pihak Berkuasa Perlindungan Data Belanda (AP) dalam satu kenyataan.
“Dan maklumat yang diberikan oleh Netflix juga tidak jelas dalam beberapa perkara,” tambah AP.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa Netflix telah mengemas kini kenyataan privasinya dan memperbaiki maklumat yang diberikan kepada pelanggan mengenai penggunaan data.
“Sebuah syarikat seperti ini, dengan pendapatan berbilion-bilion dan jutaan pelanggan di seluruh dunia, wajib memberikan penjelasan yang jelas kepada pelanggannya mengenai cara mengendalikan data peribadi mereka,” kata Pengerusi AP, Aleid Wolfsen.
“Ia mesti dijelaskan dengan sangat jelas, terutamanya jika pelanggan bertanya mengenainya. Netflix tidak melakukannya dengan betul.”
Badan pengawas perlindungan data itu menyatakan Netflix gagal memberikan maklumat jelas dan mencukupi dalam beberapa bidang, termasuk sebab pengumpulan data peribadi, perkongsian data dengan pihak ketiga, tempoh penyimpanan data dan keselamatan data ketika dihantar di luar Eropah.
“Sejak penyiasatan ini bermula lebih lima tahun lalu, kami telah bekerjasama dengan AP dan secara proaktif mengubah maklumat privasi kami untuk memberikan penjelasan yang lebih jelas kepada ahli kami.
“Kami tidak bersetuju dengan keputusan ini,” kata jurucakap Netflix dalam satu kenyataan kepada wartawan. – AFP