CALIFORNIA, 21 JULAI – Syarikat perkhidmatan penstriman Netflix berkata baru-baru ini bahawa ia menggunakan kecerdasan buatan (AI) buat kali pertama untuk mencipta kesan realistik untuk satu siri sains fiksyen.
Ketua Eksekutif bersama Netflix, Ted Sarandos berkata program tersebut dari Argentina bertajuk The Eternaut adalah yang pertama untuk rakaman AI generatif digunakan, menurut laporan UPI.
“Kami tetap yakin bahawa AI mewujudkan peluang yang luar biasa untuk membantu pereka filem membuat filem dan siri yang lebih baik, bukan sahaja lebih murah,” katanya kepada penganalisis selepas Netflix melaporkan keputusan kewangan suku kedua.
Menurut Sarandos, AI digunakan untuk kesan visual bangunan runtuh dalam Eternaut.
“Menggunakan alatan berkuasa AI, mereka dapat mencapai hasil yang menakjubkan dengan kelajuan yang luar biasa dan ia telah disiapkan 10 kali lebih pantas daripada alatan dan aliran kerja VFX tradisional,” katanya. “Kos kesan khas (sekiranya tanpa AI) tidak akan dapat dilaksanakan untuk filem dengan bajet sedemikian.”
The Eternaut, atau El Eternauta adalah siri adaptasi buku komik dan novel grafik dari Argentina tentang mangsa yang terselamat daripada pencerobohan makhluk asing. – Agensi
