Friday, March 21, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warganet ugut boikot ST Rosyam Mart sebab watak ’Iman’

    Watak Iman lakonan Datuk Rosyam Nor menerusi drama Keluarga Itu nampaknya benar-benar meninggalkan kesan terhadap penonton sehingga ada berasa jijik dengan aktor tersebut.

    Terbawa-bawa dengan rasa benci itu, ada pula ingin memboikot pasar raya miliknya iaitu ST Rosyam Mart selain meninggalkan pelbagai cacian dan makian di media sosial.

    Bagaimanapun Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 58, menganggap ia sebagai gurauan malah ia secara tidak langsung membantu mempromosikan pasar raya berkenaan yang mula beroperasi sejak 2018.

    “Watak Iman memang buat orang benci sampai ada yang nak boikot perniagaan saya tapi sebenarnya mereka hanya bergurau.

    “Masa mula-mula saya buka ST Rosyam Mart pun ramai yang mahu boikot tapi Alhamdulillah apabila perkara seperti itu berlaku mereka sebenarnya membantu mempromosikan perniagaan sayam,” katanya kepada mStar.

    Rosyam berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pembukaan pusat beli-belah pertama ST Rosyam Mall di Jalan Kebun, Klang, semalam.

    Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Rosyam menganggap lakonannya dalam drama tersebut sebagai satu bentuk dakwah dalam memberi kesedaran terhadap masyarakat.

    Malah aktor itu bersyukur apabila watak lakonannya itu trending di media sosial dan berharap ia sedikit sebanyak memberi impak kepada orang ramai.

    “Saya bersetuju lakonan adalah salah satu bentuk dakwah untuk membuka mata orang tentang sesuatu perkara.

    “Seperti watak Iman yang menjadi fenomena, Alhamdulillah di media sosial sudah lebih 300 juta orang bercakap mengenainya.

    “Sepanjang pembabitan saya sebagai pelakon, saya bersyukur diterima baik walaupun sudah lama tidak muncul dengan drama bersiri,” jelasnya.

    Selain Rosyam, drama Keluarga Itu turut menampilkan pelakon seperti Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Izara Aishah, Muaz Zabir, dan Melissa Campbell.

    Dalam perkembangan lain, Rosyam meluahkan rasa syukur apabila berjaya membuka cawangan kelapan ST Rosyam Mart.

    Perniagaannya itu juga berjaya tersenarai dalam Asean Records sebagai Pasar Raya Borong dan Runcit 24/7 pertama di Asia Tenggara yang menawarkan 21 perkhidmatan awam secara percuma. – Agensi

    Pelakon Legenda Malaysia, Rosyam Nor, dalam siri drama terbaru yang kontroversial, Keluarga. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda