LOS ANGELES, 29 DIS – Brooklyn Nets menang 10 kali berturut-turut dalam aksi yang penuh dramatik kelmarin, setelah menewaskan Hawks 108-107 di Atlanta.
Kyrie Irving menjaringkan 15 daripada 28 mata pada suku keempat dan Kevin Durant menambah 26 mata, 16 rebound dan lapan assist untuk Nets – yang mencatatkan kemenangan berturut-turut paling panjang mereka sejak musim 2005-2006 dan paling panjang dalam liga pada musim ini.
Ketiadaan penjaring terbanyak Hawks, Trae Young serta Clint Capela dan De’Andre Hunter tidak menghalang tuan rumah untuk mendahului 63-56 pada separuh masa pertama.
Namun Nets bangkit semula pada suku ketiga dan Irving menjaringkan lapan mata berterusan bersama dua jaringan tiga mata untuk membawa Nets mendahului 93-82 pada awal suku keempat.
Dia kemudiannya membantu Yuta Watanabe untuk membawa Nets kepada 13 mata pendahulu berbaki 8:40 saat. Hawks, yang dibantu oleh 24 mata daripada Dejounte Murray, mengikat keputusan 104-104 berbaki 1:48 saat.
Durant membuat dua jaringan untuk membawa kemenangan kepada Nets.
“Bagus sekali,” kata Durant mengenai kemenangan 10 kali berturut-turut, sambil mengakui kesukaran yang ditempuhi oleh Nets selama beberapa tahun kebelakangan ini – termasuk aksi kurang memuaskan pada awal musim ini, pemecatan jurulatih Steve Nash dan perbalahan anti-Yahudi melibatkan Irving.
“Adalah bagus untuk mendapatkan kestabilan dan menang beberapa perlawanan di sepanjang perlawanan dan berseronok,” katanya kepada wartawan TV di dalam gelanggang.
“Saya berasa gembira kerana kami dapat beraksi dalam permainan ini dan faham apa yang perlu dilakukan untuk menang,” kata Durant. – AFP
