BERLIN, 24 MEI – Kapten Bayern Munich dan Jerman, Manuel Neuer telah menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama juara Bundesliga itu sehingga 2024, kelmarin.
Neuer memimpin Bayern meraih kejuaraan Bundesliga ke-10 berturut-turut dan akan meraikan ulang tahun ke-38 tahun apabila perjanjian baharunya tamat.
“Manuel Neuer ialah penjaga gol terbaik di dunia dan telah menetapkan standard di peringkat antarabangsa selama bertahun-tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn.
Neuer, pemenang Piala Dunia 2014, meninggalkan Schalke pada 2011 untuk menyertai Bayern, memenangi gelaran Liga Juara-Juara pada 2013 dan 2020 dan telah membuat 472 penampilan bersama kelab itu.
Beliau adalah pemain veteran kedua yang telah lama berkhidmat yang telah menandatangani lanjutan setahun untuk Bayern baru-baru ini selepas Thomas Mueller.
Walau bagaimanapun, masa depan penyerang Bayern, Robert Lewandowski dan Serge Gnabry, yang kontrak semasa kedua-duanya tamat pada 2023, masih belum pasti. – AFP
