Wednesday, March 12, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Neuer mungkin tidak bermain lagi tahun ini

    MUNICH, 10 DIS – Kapten Bayern Munich, Manuel Neuer, mungkin tidak akan bermain lagi pada 2024, kata jurulatih Vincent Kompany menjelang pertemuan dengan Shakhtar Donetsk hari ini. 

    Bercakap kelmarin, Kompany berkata, “Beliau mengalami patah tulang rusuk, yang bermakna beliau mungkin tidak akan bermain lagi tahun ini. 

    “Yang penting sekarang adalah supaya ia sembuh. Harapnya, dari awal Januari, kita akan dapatkan Manu kembali, tetapi buat masa ini masih terlalu awal.” 

    Kompany mengesahkan Neuer patah tulang rusuknya selepas berlanggar dengan Jeremie Frimpong dari Bayer Leverkusen pada Selasa lalu, yang turut menyebabkan penjaga gol itu menerima kad merah pertama dalam kerjaya 866 perlawanan beliau. 

    Bayern kini kehilangan beberapa pemain utama kerana krisis kecederaan yang melanda kelab itu. Neuer, Harry Kane, Kingsley Coman, Alphonso Davies, Joao Palhinha, Serge Gnabry, Josip Stanisic, Hiroki Ito, dan Mathys Tel semua tersenarai sebagai pemain cedera, sementara penjaga gol gantian Sven Ulreich juga tidak dapat bermain atas alasan peribadi.

    “Kami kehilangan banyak pemain, tetapi saya rasa kami telah mengharungi dengan baik setakat ini,” kata Kompany.

    Ketiadaan Neuer bermakna penjaga gol pilihan ketiga Bayern, Daniel Peretz, akan bermula di posisi penjaga gol. 

    Penjaga gol Israel itu akan membuat penampilan ketiganya bersama Bayern setelah melakukan debut kelabnya sebagai pemain gantian selepas Neuer dikeluarkan dari padang dalam kekalahan 1-0 kepada Leverkusen pada pusingan 16 Piala Jerman. 

    Juara Liga Juara-juara enam kali itu berada di tempat ke-13 dalam kedudukan Liga Juara-juara selepas lima perlawanan, dengan tiga kemenangan di tempat sendiri dan kekalahan di tempat lawan kepada Barcelona dan Aston Villa. 

    Kemenangan ke atas Shakhtar akan membantu usaha Bayern untuk menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas dan mengelak pusingan playoff tambahan. – AFP

    Detik perlanggaran antara Manuel Neuer dengan Jeremie Frimpong, semasa perlawanan pusingan 16 Piala Jerman antara FC Bayern Munich dan Bayer Leverkusen di Munich, selatan Jerman, pada 3 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda