Sunday, February 2, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    New England siap sedia hadapi ribut musim sejuk

    NEW ENGLAND, 14 MAC – Sebahagian kawasan Timur Laut Amerika Syarikat sedang bersiap sedia menghadapi ribut musim sejuk yang bakal menyaksikan salji lebat, angin kencang dan tahap lembap luar biasa, bakal menyukarkan perjalanan dan memutuskan bekalan kuasa kepada ratusan ribu orang.

    Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata ribut itu bermula lewat Isnin dan berlarutan sehingga Rabu.

    Kawasan laluannya termasuk bahagian New England, utara New York, timur laut Pennsylvania dan utara New Jersey, dengan jumlah salji dijangka beberapa inci sehingga beberapa kaki, bergantung kepada kawasan itu.

    “Ini boleh membawa maut,” kata Gabenor New York Kathy Hochul memberi amaran pada taklimat di Albany.

    “Biar saya ulangi: Ini akan menjadi ribut berbahaya. Sila tinggalkan jalan raya untuk keselamatan awda sendiri.”

    Foto menunjukkan salji yang turun terlalu tebal di California, Amerika Syarikat pada 1 Mac. – AP

    Kawasan yang lebih tinggi di wilayah pertengahan Hudson di New York dan kawasan Albany boleh menerima salji setinggi 91 sentimeter.

    Hochul, akan mengeluarkan amaran darurat bermula jam 8 semalam, sambil menyatakan krew pembajak salji dari Long Island dan krew utiliti dari Kanada bakal dihantar ke wilayah itu untuk memberi bantuan.

    Beliau juga berkata 100 anggota Pengawal Kebangsaan telah dikerahkan untuk membantu dengan tindak balas kecemasan.

    Salji di bahagian barat Massachusetts boleh melebihi 45 sentimeter, tetapi di sepanjang pantai, jumlahnya boleh menjadi 7.5 hingga 10 sentimeter, kata Bill Simpson, jurucakap Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Norton, Massachusetts.

    Amaran ribut musim sejuk berkuat kuasa pada petang kelmarin hingga pagi Rabu bagi beberapa kawasan yang terdedah teruk dengan ribut salji tersebut termasuklah Vermont dan Massachusetts barat serta sebahagian Connecticut dan Rhode Island. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda