Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘New Resolutions Fest’ sempena Hari Autisme

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Dalam memberikan peluang kepada orang ramai untuk memperbaiki diri dan membuat azam baru untuk aktif dalam sesuatu aktiviti bermanfaat dan juga bagi mencuba pelbagai jenis aktiviti dalam bidang kesukanan, kreativiti dan alam sekitar, Kaleidoscope dan Pro Event Management telah bekerjasama mengadakan acara ‘New Resolutions Fest’ di Hutan Simpan Berakas, hari ini.

    ‘New Resolutions Fest’ juga diadakan bersempena dengan Hari Kesedaran Autisme di mana kanak-kanak SMARTER Brunei telah dijemput bagi melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti disediakan pada acara tersebut.

    Pengarah Kaleidoscope, Dayang Nur Khalisah binti Ahmad ketika ditemui Media Permata menjelaskan, “Setiap tahun, setiap orang mempunyai azam dengan idea bagaimana mahu memperbaiki diri mereka dan acara ini adalah bagi memberikan peluang kepada mereka untuk mencuba perkara-perkara baru.

    “Ia adalah satu tempat sehentian untuk melibatkan NGO dan kumpulan komuniti (yang mereka kumpulkan – sukan, kreatif, alam sekitar) – untuk berusaha menjadi lebih sihat, memulakan hobi atau sukan baru.

    “Selain itu, ia juga bertujuan bagi membuatkan orang ramai sedar bahawa mereka yang mempunyai autisme juga adalah mereka yang berkemampuan, berkemampuan dalam sama-sama datang ke acara berkenaan dan melibatkan diri mereka dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di sini,” jelasnya lagi.

    Antara gerai-gerai pameran yang terdapat di acara tersebut.
    Dayang Nur Khalisah ketika ditemui Media Permata.

    Pelbagai aktiviti telah diadakan pada acara tersebut yang menyentuh kepada tiga aspek iaitu bidang kesukanan, kreativiti dan alam sekitar. Antaranya ialah Muay Thai, ragbi, Dodgeball, ‘Fitness Circuit’, sukan kayuh, lukisan kiub, lukisan muka, dart ballon, pertunjukan burung nuri, bengkel-bengkel foto dan pelbagai lagi.

    Sehari sebelum acara diadakan, lebih kurang 40 orang sukarelawan daripada GREEN Brunei, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta rakan-rakan telah turut sama-sama memberikan sokongan dan bantuan dalam membersihkan kawasan pantai di mana mereka telah berjaya mengumpul sebanyak 30 beg sampah dan barang-barang yang dikitar semula.

    Dayang Nur Khalisah juga telah mengongsikan harapannya pada masa akan datang di mana beliau berharap akan dapat melihat pelancong luar negara datang dan mencuba pesta berkenaan, selain pembangunan lebih banyak sukan yang dapat menjadikan atlet tempatan mendapat lebih perhatian di acara sedemikian.

    “Selain itu, diharap juga ia dapat mewujudkan perpaduan dalam masyarakat, dan berkembang sebagai sebuah komuniti untuk membantu, memberikan sokongan dan kerjasama antara satu sama lain,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda