Monday, May 5, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    New York catat kes jangkitan tertinggi Influenza A

    NEW YORK, 4 MEI – Lebih ramai kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia akibat selesema musim ini, berbanding tahun -tahun sebelumnya, sejak pandemik selesema khinzir 15 tahun lalu, menurut laporan persekutuan yang dikeluarkan pada Jumaat.

    Sebanyak 216 kematian pediatrik dilaporkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), melebihi 207 kes yang direkodkan tahun lalu, jumlah tertinggi sejak pandemik selesema H1N1 global pada 2009-2010.

    “Angka yang dilaporkan ini kemungkinan besar adalah lebih rendah daripada jumlah sebenar. Setelah musim ini berakhir dan semua data dikumpulkan, jumlah tersebut dijangka akan meningkat,” kata Dr. Sean O’Leary dari American Academy of Pediatrics.

    Antara punca utama musim selesema ini menjadi lebih teruk adalah penurunan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak, kata O’Leary, pakar penyakit berjangkit pediatrik dari Universiti Colorado.

    Kadar vaksinasi selesema dalam kalangan kanak-kanak AS telah jatuh daripada kira-kira 64 peratus lima tahun lalu kepada 49 peratus musim ini.

    Gambar fail vaksin selesema dipamerkan di sebuah farmasi di New York, pada 24 September 2024. – AP

    Tambahnya lagi, walaupun vaksin selesema mungkin tidak sepenuhnya menghalang jangkitan, kajian menunjukkan vaksin tersebut sangat berkesan dalam mencegah kemasukan ke hospital dan kematian.

    Musim selesema kali ini bukan hanya menjejaskan kanak-kanak dan pegawai CDC menyifatkannya sebagai ‘sangat teruk’.

    Kira-kira 47 juta jangkitan, 610,000 kemasukan ke hospital dan 26,000 kematian setakat ini.

    CDC turut melaporkan daripada hampir 5,200 orang dewasa yang telah dimasukkan ke hospital, sebanyak 95 peratus mempunyai kira-kira satu masalah kesihatan yang sedia ada.

    Tahun ini mencatatkan lebih banyak variasi selesema berbanding tahun-tahun lain, dengan dua jenis virus Influenza A iaitu H1N1 dan H3N2 yang lebih dominan.

    Namun, data awal CDC menunjukkan vaksin selesema masih berkesan dalam mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian.

    CDC turut mengesyorkan agar semua individu yang sudah berusia 6 bulan ke atas, agar mengambil suntikan vaksin selesema setiap tahun.

    Penurunan kadar vaksinasi kanak-kanak secara umum turut dipengaruhi oleh maklumat palsu di media sosial serta perpecahan politik sejak kemunculan vaksin COVID-19. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda