NEW YORK, 15 OGOS – Seorang lagi mangsa telah disahkan meninggal dunia akibat wabak Legionnaires di New York, menjadikan jumlah kematian kepada empat orang, menurut pegawai kesihatan kelmarin.
Pihak berkuasa turut mendedahkan beberapa menara penyejuk yang diuji positif bakteria itu terletak di bangunan milik kerajaan bandar.
Wabak yang berlaku di Central Harlem sejak akhir Julai itu telah menjangkiti puluhan orang, dengan 17 daripadanya dimasukkan ke hospital setakat kelmarin.
Bakteria penyebab penyakit itu ditemui di 12 menara penyejuk pada 10 bangunan, termasuk sebuah hospital kerajaan atau klinik kesihatan.
Di samping itu, proses pembersihan telah selesai dijalankan pada 11 menara dan sebuah tempat lagi dijadualkan selesai hari ini.
Wabak Legionnaires merupakan sejenis penyakit yang mengakibatkan radang paru-paru, akibat bakteria Legionella yang membiak dalam air suam dan merebak melalui sistem air bangunan.
Di New York, punca wabak dikaitkan dengan menara penyejuk yang menggunakan air dan kipas untuk menyejukkan bangunan. Menurut CDC Amerika Syarikat, simptom biasanya muncul antara dua hari hingga dua minggu selepas terdedah kepada bakteria, termasuk batuk, demam, sakit kepala, sakit otot dan sesak nafas.
Pesuruhjaya Kesihatan Sementara New York, Dr. Michelle Morse berkata, kes baharu di Central Harlem menunjukkan penurunan, menandakan sumber bakteria telah dikawal. – AP


