LONDON, 11 APRIL – Amerika Syarikat (AS) terus mendominasi senarai 50 bandar terkaya dunia berdasarkan bilangan jutawan, dengan 11 bandar AS termasuk dalam senarai, menurut laporan Wealthiest Cities in the World 2025 yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA).
New York City kekal di kedudukan teratas dunia dengan dihuni lebih 384,000 jutawan, termasuk 818 individu yang memiliki kekayaan melebihi AS$100 juta dan 66 bilionair.
Wilayah San Francisco Bay, termasuk Silicon Valley berada di tempat kedua dengan 342,400 jutawan dan 82 bilionair.
Wilayah itu turut mencatat peningkatan mengagumkan sebanyak 98 peratus dalam jumlah individu berpendapatan tinggi sejak sedekad lalu.
Dubai melonjak pantas dalam kedudukan global, naik dari tangga ke-21 ke tangga ke-18 dalam tempoh setahun.

Bandar raya itu kini menempatkan 81,200 jutawan, 237 individu dengan kekayaan melebihi AS$100 juta dan 20 bilionair.
Jumlah individu kaya di Dubai melonjak 102 peratus dalam tempoh 10 tahun, menjadikannya antara yang terpantas berkembang di dunia.
Asia dan Timur Tengah turut menyaksikan pertumbuhan kekayaan yang pesat. Riyadh mencatat peningkatan 65 peratus, manakala Abu Dhabi mencatat lonjakan 80 peratus, sejajar dengan transformasi wilayah itu sebagai hab kewangan global.
Bandar-bandar di China turut menunjukkan momentum yang kukuh.
Shenzhen di tangga ke-28 mencatat pertumbuhan tertinggi di dunia dengan peningkatan 142 peratus dalam kalangan jutawan, diikuti Hangzhou di tangga ke-35 dengan pertumbuhan 108 peratus. – AFP