Monday, November 11, 2024
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    New Zealand adakan undian awal pihan raya

    WELLINGTON, 3 OKT – Pengundian awal bermula kelmarin di New Zealand bagi pilihan raya umum negara itu pada 14 Oktober, dengan pencabar konservatif Christopher Luxon juga mengundi.

    Pengundian awal juga telah bermula di beberapa bahagian di Australia dalam satu referendum yang akan memasukkan dalam Perlembagaan Australia mekanisme bagi Orang Asli untuk memberi nasihat kepada Parlimen mengenai dasar-dasar yang mempengaruhi kehidupan mereka.

    Di New Zealand, kempen Perdana Menteri, Chris Hipkins menghadapi rintangan baru-baru ini apabila beliau disahkan positif COVID-19. Dia berkata dia akan menjalani kuarantin selama lima hari atau sehingga dia mendapat hasil ujian negatif, tetapi merancang untuk meneruskan beberapa perjumpaan melalui Zoom.

    Hipkins dan Parti Buruh liberalnya telah tertinggal di belakang Parti Kebangsaan pembangkang, yang dipimpin oleh Luxon, dalam undian pendapat.

    “Selepas malam yang sukar, saya terjaga pagi ini berasa tidak sihat dan baharu mendapat keputusan ujian ini,” tulis Hipkins di Instagram, dan berkata dia akan bekerja dua kali ganda apabila dia kembali ke kempen pilihan raya.

    Luxon baru-baru ini mengeluarkan pelan tindakan 100 hari yang katanya akan memberikan pelepasan cukai, membina semula ekonomi dan mengembalikan undang-undang dan ketenteraman.

    “Rakyat New Zealand telah menanti selama enam tahun untuk sebuah kerajaan yang memberi tumpuan bagi perkara yang penting kepada mereka dan menangani situasi dengan cepat dan cekap,” kata Luxon.

    Di Australia, di mana mengundi adalah wajib, kira-kira 98 peratus daripada warga Australia yang layak telah mendaftar untuk mengundi dalam referendum mengenai Suara Orang Asli ke Parlimen. – AFP

    Orang ramai tiba di pusat mengundi bagi referendum Suara Orang Asli ke Parlimen di Melbourne pada 2 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda