Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    New Zealand bebas wabak COVID-19

    WELLINGTON, 8 JUN – New Zealand menarik semua sekatan domestik hari ini, selepas pesakit terakhir wabak itu disahkan bebas COVID-19.

    Perkembangan terkini itu diraikan semua peringkat dengan Perdana Menterinya Jacinda Ardern menari di ruang tamu rumahnya apabila menerima perkhabaran berkenaan.

    Bagaimanapun, negara itu masih mengekalkan kawalan ketat di pintu sempadan. Ardern berkata, peraturan seperti penjarakan sosial dan mengehadkan jumlah orang dalam perhimpunan awam tidak diperlukan lagi.

    “Kami yakin sudah menghapuskan penularan virus di New Zealand setakat ini,” katanya ketika dalam siaran televisyen dan mengagumi rakyatnya yang bersatu bagi menghapuskan COVID-19.

    Negara itu mempunyai populasi lima juta rakyat, merekodkan 1,154 kes COVID-19 dan 22 kematian. Tiada jangkitan baharu dilapor selama 17 hari dan hanya satu kes aktif setakat Isnin. Maklumat lanjut pesakit terakhir itu tidak didedahkan, namun dipercayai wanita berusia 59 tahun itu mempunyai kaitan dengan kluster rumah penjagaan Auckland. Ardern juga memberitahu, pengorbanan rakyat termasuk pematuhan terhadap perintah berkurung selama tujuh minggu telah berjaya mengurangkan jangkitan virus dan mereka dihadiahkan dengan ketiadaan kes aktif sehingga kini.

    Ditanya bagaimana penerimaannya terhadap pesakit terakhir itu, Ardern berkata sangat gembira, “saya menari bersama ‘baby Neve’ (anak perempuannya).”

    Langkah pencegahan New Zealand turun ke Tahap 1, peringkat terendah dalam sistem tindak balas virus empat peringkat sekali gus bermaksud kelab malam dibenarkan beroperasi tanpa lantai ta-rian dan panggung boleh dibuka semula. – AFP

    Jacinda Ardern tersenyum semasa memberikan ucapan pada sidang media di New Zealand, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda