WELLINGTON, 21 OGOS – New Zealand bakal mengeluarkan perbelanjaan sebanyak AS$1.16 bilion untuk sebuah armada helikopter pemburu kapal selam Sikorsky bagi memperkukuh keupayaan tenteranya, umum kerajaan, hari ini.
Di samping itu, pembelian lima buah helikopter Sikorsky MH-60R Seahawk itu turut dimasukkan dalam perbelanjaan keseluruhan bernilai AS$1.57 bilion (NZ$2.7 bilion) yang juga merangkumi dua buah pesawat Airbus A321XLR.
Menteri Pertahanan, Judith Collins dan Menteri Luar Negeri, Winston Peters mengumumkan perjanjian tersebut di Wellington dengan merujuk kepada ketegangan global yang semakin meningkat.
Armada helikopter itu dilengkapi dengan sistem torpedo anti-kapal selam, peluru berpandu udara-darat Hellfire, mesingan serta Sistem Senjata Bunuh Tepat Lanjutan.
Pasukan pertahanan juga merancang menambah dron tanpa pemandu sebagai pilihan serangan pada masa hadapan, kata mereka.
Ia merupakan langkah penting bagi sebuah negara yang sejak kebelakangan ini lebih memberi tumpuan kepada misi pengaman dan kemanusiaan, dengan menggunakan pesawat, helikopter dan kapal usang yang sering rosak dan menimbulkan masalah.
“Dalam dunia di mana ketegangan semakin meningkat, jarak tidak lagi memberikan New Zealand perlindungan seperti dahulu,” kata Collins.
Sementara itu, Peters berkata New Zealand kini sedang berdepan dengan ‘keadaan strategik paling mencabar dalam sejarah moden’ dan ‘diplomasi sahaja tidak
mencukupi.’
Pesawat Airbus A321XLR tersebut akan menggantikan pesawat Tentera Udara 757 yang beberapa kali mengalami kerosakan besar, meninggalkan Perdana Menteri terkandas dalam lawatan antarabangsa.
Menurut Collins, pesawat baharu itu dijangka boleh digunakan sekitar tahun 2028. – AFP


