Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    New Zealand hentikan bantuan kepada Kepulauan Cook

    WELLINGTON, 19 JUN – Kerajaan New Zealand kelmarin telah menghentikan bantuan kepada rakan rapatnya, Kepulauan Cook, susulan pertikaian berkaitan perjanjian yang dimeterai oleh negara kepulauan Pasifik itu dengan China.

    Menurut kenyataan jurucakap Menteri Luar, Winston Peters, New Zealand telah ‘menggantung’ pembayaran bantuan tersebut dan tidak akan menyambung semula sehingga Kepulauan Cook mengambil ‘langkah konkrit’ untuk memulihkan kepercayaan.

    Kepulauan Cook yang mempunyai kira-kira 17,000 penduduk merupakan negara dengan pentadbiran sendiri, mempunyai hubungan ‘bebas’ dengan bekas penjajahnya, New Zealand, yang turut menyediakan bantuan belanjawan serta sokongan dalam hal ehwal luar dan pertahanan.

    Jurucakap Peters menyatakan ‘kekurangan rundingan’ berkaitan perjanjian antara Kepulauan Cook dan China menjadi punca penggantungan bantuan itu.

    Menurut angka rasmi kerajaan, New Zealand telah memberikan sebanyak AS$116 juta kepada Kepulauan Cook dalam tempoh tiga tahun lalu.

    Gambar fail Winston Peters semasa temu bual bersama The Associated Press di pejabat parlimennya, di Wellington pada 22 Ogos 2024. – AP

    Pembayaran bantuan pembangunan berjumlah AS$11 juta yang dijadualkan bagi tahun kewangan seterusnya kini turut digantung.

    Bercakap kepada wartawan hari ini, Peters turut menegaskan penggantungan bantuan itu tidak berkaitan dengan lawatan Luxon ke China.

    Perdana Menteri Kepulauan Cook, Mark Brown, belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas mengenai isu tersebut.

    Brown sebelum ini terselamat daripada undi tidak percaya pada Februari berhubung perjanjian dengan China dan menyalahkan ‘maklumat salah’ daripada New Zealand yang didakwanya telah menggugat kestabilan negaranya.

    Bekas diplomat Australia, Mihai Sora berkata Kepulauan Cook ‘agak bijak mengatur strategi.’

    “Tidak mengejutkan jika New Zealand bertindak sedemikian,” kata penganalisis dari Institut Lowy itu kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda