Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    New Zealand kaitkan kematian kelima dengan penjualan ‘kit bunuh diri’

    WELLINGTON, 20 SEPT – Seorang koroner New Zealand telah mengaitkan kematian kelima dengan ‘kit bunuh diri’ yang didakwa dijual dalam talian oleh bekas cef Kanada, menurut penemuan yang dikeluarkan hari ini.

    Koroner Alexandra Cunninghame mendapati seorang wanita berusia 25 tahun membunuh diri di sebuah hotel di Auckland pada April 2022 selepas menerima bungkusan yang dipesan daripada perniagaan dalam talian yang dikaitkan dengan Kenneth Law dari Kanada.

    Koroner tidak dapat mengesahkan sama ada bungkusan itu benar-benar mengandungi bahan yang digunakan dalam insiden tersebut, tetapi menyatakan bahawa ‘ubat itu sangat terhad, dan oleh itu tidak mudah diperoleh, di New Zealand’.

    Cunninghame sebelum ini telah mengaitkan kematian tiga pelajar dan seorang jurulatih peribadi yang membunuh diri pada 2022 dan 2023 dengan pembelian daripada laman web yang dikaitkan dengan Law.

    Polis di Kanada percaya bekas cef itu menghantar sebanyak 1,200 ‘kit bunuh diri’ kepada orang di lebih 40 negara antara tahun 2020 dan penahanannya tahun lepas – secara khusus menyasarkan golongan yang berisiko dalam talian.

    Pendakwa raya Kanada mendakwa kit tersebut mengandungi bahan tambahan makanan yang boleh membunuh jika disalahgunakan.

    Law telah ditangkap pada Mei 2023 dan didakwa di Kanada dengan 14 pertuduhan membunuh dan 14 lagi pertuduhan membantu dan menasihati untuk membunuh diri. Dia telah menafikan tuduhan itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda