Saturday, February 8, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    New Zealand sasar suasana lebih hijau

    WELLINGTON – Pihak kerajaan di New Zealand terus menaruh harapan untuk mengekalkan suasana hijau di bandar tersebut dengan melakukan proses penanaman sebanyak 100 juta pokok pada setiap tahun, memastikan grid elektrik dikuasakan oleh tenaga yang boleh diperbaharui dan membelanjakan wang untuk projek kitar semula serta merealisasikan laluan pengangkutan kereta api.

    Jacinda Ardern yang memegang jawatan Perdana Menteri New Zealand baru-baru ini telah menggariskan perjanjian Parti Buruh yang dicapai dengan parti politik lain yang menyertai mereka dalam struktur kerajaan yang baru.

    Sebagai tambahan kepada inisiatif alam sekitar, Ardern juga turut menggariskan rancangan untuk menaikkan upah minimum, menghalang warga asing daripada membeli rumah yang ada dan berusaha untuk menukar cara Bank Rizab New Zealand beroperasi.

    Wanita berusia 37 tahun itu juga merupakan pemimpin termuda di New Zealand dalam tempoh lebih dari 150 tahun dan berharap untuk membawa negara itu ke landasan yang lebih ke arah berbentuk liberal berikutan daripada tempoh sembilan tahun pemerintahan yang dipegang oleh Parti Kebangsaan konservatif.

    “Perubahan iklim tidak wajar untuk dijadikan sebagai halangan yang mempengaruhi masalah pemeliharaan alam sekitar dan pihak kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memastikan agar suasana hijau di negara ini akan terus dapat dipelihara,” jelas Ardern.

    New Zealand akan sentiasa terus meningkatkan usaha penanaman pokok demi memastikan keadaan negara itu kekal bersih dan hijau.

    Rancangan Ardern terhadap New Zealand adalah untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau sehingga pada tahap sifar menjelang tahun 2050.

    Sesetengah sasaran hanya memerlukan perubahan tambahan. New Zealand telah menjana kira-kira 85 peratus tenaga elektriknya daripada sumber yang boleh diperbaharui termasuk hidroelektrik, geothermal dan angin.

    Ardern juga merancang untuk meningkatkannya sehingga ke tahap 100 peratus menjelang tahun 2035 dengan mengukuhkan usaha-usaha penyelidikan bagi memastikan sama ada kuasa solar memiliki peluang digunakan di atas atap sekolah.

    Beliau turut menjelaskan bahawa negara itu wajar untuk menggandakan usaha penanaman pokok pada setiap tahun terutama pada kawasan pertanian dalam memastikan sasaran tersebut berjaya dicapai.

    Di samping itu, beliau juga menyeru agar kenderaan yang digunakan di negara itu juga wajar dipastikan tahap keselamatan dan kesannya kepada alam sekitar dalam memastikan ia tidak akan memberikan sebarang kesan buruk seperti pencemaran alam yang boleh menjejaskan reputasi negara tersebut.

    Winston Peter dan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern (kanan) mempersetujui dan menyokong usaha untuk mengekalkan New Zealand sebagai sebuah negara yang menampilkan panorama hijau dan tenang. – AP
    Sistem keretapi juga dipertingkatkan demi menggalakkan penduduk di New Zealand selesa untuk menggunakan pengangkutan awam tersebut sekaligus mencegah pencemaran alam.

    Namun tidak semua pihak yang menerima baik berhubung mengenai pelan rancangan tersebut. Kebanyakan para petani melahirkan rasa bimbang kerana khuatir untuk diarahkan membayar pada kadar yang lebih sekiranya mereka diserap ke dalam skim perdagangan emisi.

    “Terdapat kebimbangan bahawa jika perkara ini berlaku, New Zealand akan menjadi sebuah negara yang kurang berdaya saing dengan negara-negara penghasil makanan yang lain,” jelas Katie Milne, presiden kumpulan peladang bersekutu.

    Kerajaan juga merancang untuk menaikkan upah sebanyak NZ$20 bersamaan dengan AS$14 sejam dalam beberapa tahun akan datang di mana ia adalah peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding daripada paras semasa.

    Ardern juga turut menjelaskan bahawa semakan semula cara pengendalian Bank Rizab akan dapat melihat bagaimana cara menguruskan pekerja dan tahap kestabilan harga.

    Di samping itu, Perdana Menteri tersebut juga menggariskan rancangan untuk membelanjakan sebanyak NZ$1 bilion yang bersamaan dengan AS$693 juta setahun di bandar-bandar dan rantau kecil negara untuk memperbaiki infrastruktur kereta api dan lain-lain. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda