LONDON, 14 APRIL – Newcastle United melonjak ke kelompok empat teratas selepas membelasah Manchester United 4-1, semalam.
Newcastle tidak terjejas walaupun tanpa pengurus Eddie Howe, yang dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu akibat masalah kesihatan, apabila mereka membelasah pasukan Manchester United yang sedang bergelut dalam separuh masa kedua di St James’ Park.
Alejandro Garnacho berjaya menyamakan kedudukan selepas jaringan pembukaan Sandro Tonali bertentangan dengan corak permainan, memastikan kedudukan terikat seri pada separuh masa pertama.
Namun, Harvey Barnes meledak gol hasil hantaran lintang Jacob Murphy empat minit selepas separuh masa kedua bermula, mencetuskan kemerosotan prestasi United.
Barnes sekali lagi menyusup masuk ke pertahanan Red Devils untuk menjaringkan gol keduanya ke penjuru atas gawang selepas sejam permainan.
Ruben Amorim telah menggugurkan penjaga gol yang dikritik hebat, Andre Onana, selepas dua kesilapan dalam keputusan seri 2-2 menentang Lyon dalam Liga Europa pada Khamis lalu, selain pertelingkahan dengan bekas pemain tengah United, Nemanja Matic. – AFP
