Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Newcastle jejas pemburuan City

    LONDON, 30 Jan – Kempen Manchester City dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris terjejas selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan Newcastle pada perlawanan yang berlangsung di St James Park.

    City memerlukan kemenangan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liverpool, kepada kedudukan satu mata ketika The Reds bakal berdepan Leicester City, awal pagi esok.

    Namun, skuad kendalian Pep Guardiola yang mengharungi perlawanan liga ke-100 membuktikan pasukan itu terpaksa melupakan gelaran tersebut setelah gagal meraih kelebihan untuk mengejar Liverpool.

    Kekalahan pasukan yang menghuni di tangga kedua itu bermakna Liverpool berpeluang menjarakkan kedudukan pada tujuh mata di persada liga dan mencerahkan lagi peluang untuk merangkul gelaran liga pertama sejak 1990.

    City hanya memerlukan 14 saat untuk menjaringkan gol pembukaan. Raheem Sterling membuat hantaran kepada David Silva dan pertahanan City itu melakukan percubaan berani sebelum bertembung dengan penjaga gawang Newcastle, Martin Dubravka.

    Dubravka (kiri) cuba menyelamatkan hantaran daripada Silva pada perlawanan yang berlangsung di St James Park, Newcastle, kelmarin. – AP

    Sergio Aguero kemudiannya cuba membuat percubaan berjarak dekat untuk menjaringkan gol ke-17 peribadinya musim ini.

    Namun, City kehilangan sentuhan dan terus dihukum tuan rumah apabila Salomon Rondon menyamakan kedudukan pada minit ke-66 selepas menerima bola tandukan Isaac Hayden.

    Nasib malang terus menghantui skuad kendalian Guardiola pada minit ke-80, apabila Fernandinho melakukan kekasaran ke atas Sean Longstaff untuk menghadiahkan Newcastle sepakan penalti.

    Matt Ritchie dengan bijak menyudahkan peluang keemasan itu dengan melakukan sepakan rendah bagi meraih gol kedua tuan rumah.

    “Ia bukanlah perlawanan terbaik kami. Kami memulakan dengan satu gol namun kehilangan rentak selepas itu,” kata Guardiola. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda