Thursday, April 17, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Newcastle kejar tempat beraksi di Liga Juara-Juara

    LEICESTER, 8 APRIL – Newcastle meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Leicester yang bergelut semalam, untuk mengejar kedudukan beraksi di Liga Juara-Juara dan memberikan The Foxes kekalahan kelapan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris tanpa menjaringkan sebarang gol.

    Skuad bimbingan Eddie Howe, yang masih dibuai kejayaan memenangi Piala Liga bulan lalu, kini naik ke tangga kelima liga, berkongsi mata dengan Chelsea di tempat keempat namun memiliki kelebihan satu perlawanan.

    Kedudukan kelima hampir pasti menjamin tempat ke Liga Juara-Juara musim hadapan susulan prestasi cemerlang kelab-kelab Inggeris dalam pertandingan peringkat benua.
    Namun, penyingkiran pasukan kendalian Ruud van Nistelrooy yang bergelut hampir pasti selepas hanya semusim berada dalam Liga Perdana Inggeris.

    Pasukan pelawat mendahului 2-0 seawal minit ke-11 hasil dua jaringan Jacob Murphy, dan gol kedua merupakan sentuhan mudah dari jarak dekat selepas percubaan berani Fabian Schar terkena palang. Harvey Barnes menambah gol ketiga sebelum tamat separuh masa pertama.

    Kali terakhir Leicester menjaringkan gol liga di hadapan penyokong sendiri adalah ketika menentang Brighton pada 8 Disember dan mereka kini menjadi pasukan pertama dalam sejarah liga bola sepak yang tewas lapan perlawanan berturut-turut di laman sendiri tanpa menjaringkan sebarang gol.

    Jacob Murphy meraikan jaringannya yang kedua dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Leicester City dan Newcastle United di Stadium King Power, Leicester, England, pada 7 April. – AP

    Pengurus Newcastle, Howe berkata cabaran terbesarnya ialah memastikan fokus pasukannya kekal selepas mereka menamatkan kemarau trofi selama 56 tahun dalam perlawanan akhir Piala Liga menentang Liverpool bulan lalu.

    “Saya tidak dapat memberikan pujian kepada mereka secukupnya,” katanya kepada BBC.

    “Mereka ialah sekumpulan pemain yang merendah diri dan ingin berjaya serta mewakili kelab dengan cara yang betul. Mereka telah membuktikannya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.”

    Howe berkata perebutan tempat ke Liga Juara-Juara kini ‘semakin sengit’.

    “Minggu hadapan adalah minggu yang besar buat kami. Kami akan berdepan tiga perlawanan yang sangat sukar (menentang Manchester United, Crystal Palace dan Aston Villa) dan ia akan menjadi penentu di mana kedudukan kami menjelang akhir musim.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda