Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Newcastle naik ke tangga ketiga liga

    NEWCASTLE, 17 APRIL – Newcastle melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Crystal Palace 5-0 semalam, sekali gus semakin hampir untuk kembali ke saingan Liga Juara-juara musim depan.

    Jacob Murphy, Harvey Barnes, Fabian Schar dan Alexander Isak masing-masing menjaringkan gol buat The Magpies, manakala Marc Guehi turut menghadiahkan jaringan sendiri, ketika Newcastle menang walaupun tanpa pengurus Eddie Howe yang tidak hadir akibat pneumonia.

    Kemenangan keenam berturut-turut dalam semua pertandingan itu membolehkan Newcastle membuka jurang lima mata ke atas Chelsea di tangga keenam, dan kedudukan lima teratas memadai untuk kelayakan ke Liga Juara-juara.

    Palace kekal di tangga ke-12 dan kini hanya memberi tumpuan kepada aksi separuh akhir Piala FA menentang Aston Villa hujung bulan ini.

    Newcastle pula akan berkunjung ke Villa pada Sabtu ini dalam perlawanan penting memburu slot ke kejohanan Eropah.

    Namun, selaku juara Piala Liga musim ini, Newcastle kini mula meninggalkan pencabar lain bagi kedudukan lima teratas, berbekalkan semangat daripada kejayaan menamatkan kemarau 70 tahun tanpa trofi domestik bulan lalu.

    “Ia memberikan kami keyakinan besar,” kata penolong pengurus Newcastle, Jason Tindall, yang menggantikan Howe ketika ini, mengenai kejayaan menjulang Piala Liga.

    “Kami meraikannya seketika tetapi kami tahu apa matlamat kami untuk baki musim ini – menamatkan saingan setinggi mungkin dalam liga. – AFP

    Alexander Isak meraikan jaringan Newcastle yang kelima dalam perlawanan semasa aksi Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di St James’ Park, Newcastle, England, pada 16 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda