LONDON, 3 DIS – Newcastle memberikan kekalahan keenam Manchester United di dalam Liga Perdana musim ini ketika Arsenal menewaskan Wolves 2-1, kelmarin untuk melebarkan pendahuluan mereka di tangga teratas kepada empat mata.
Anthony Gordon menjaringkan gol tunggal di St James’ Park untuk mengangkat Newcastle ke tangga kelima di dalam jadual dan dalam jarak dua mata dari empat teratas.
Sebaliknya, United tergelincir ke tangga ketujuh dan masih belum berjaya menewaskan mana-mana pasukan dalam kedudukan sembilan teratas Liga Perdana musim ini.
Anak buah Eddie Howe berhak menang dengan kelebihan yang lebih besar walaupun kehilangan 11 pemain utama disebabkan kecederaan atau penggantungan serta kehilangan penjaga gol, Nick Pope akibat masalah bahu pada minit akhir.
Sepakan percuma Kieran Trippier tersasar dari bahagian bawah palang dan percubaan Alexander Isak melencong beberapa inci sebelum rehat.
Gordon akhirnya berjaya menjaringkan gol selepas 10 minit memasuki babak kedua.
“Saya berasa amat gembira dengan para pemain malam ini,” kata Howe selepas pasukannya yang kurang pemain utama itu meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan dalam seminggu menentang Chelsea, Paris Saint-Germain dan United.
“Persembahan yang kami lakukan menentang tiga pasukan terbaik sangat cemerlang sehingga ia memberikan keyakinan, dan apabila kami mendapatkan beberapa pemain kembali, kami boleh terus melangkah lebih jauh,” tambahnya. – AFP
