PARIS, 28 JAN – Pemain bintang Brazil, Neymar dan Al-Hilal kelmarin ‘bersetuju untuk menamatkan kontrak pemain itu atas persetujuan bersama’ selepas 18 bulan bermain untuk kelab Arab Saudi itu.
“Kelab ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Neymar atas apa yang dicurahkan sepanjang kariernya bersama Al-Hilal, dan mendoakan kejayaan pemain itu dalam kariernya,” menurut kenyataan kelab yang diumumkan di media sosial.
Bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain berusia 32 tahun itu hanya turun bermain sebanyak tujuh kali sejak menyertai kelab pada Ogos 2024, meskipun dilaporkan menerima gaji sekitar AS$104 juta setahun.
Neymar, yang mencatatkan perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak apabila dia menyertai Paris Saint-Germain dari Barcelona pada 2017 dengan yuran perpindahan sebanyak AS$230 juta, menyertai Al-Hilal pada Ogos 2023.
Dia mengikut jejak pemain bintang lain seperti Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema untuk beraksi di liga Saudi.
Namun dua bulan selepas ketibaannya di Riyadh, pemain itu mengalami kecederaan serius di lutut kiri ketika beraksi untuk pasukan kebangsaan Brazil di pusingan kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023, di mana dia terpaksa diketepikan selama setahun.
Dia kembali bersama Al-Hilal dengan dua penampilan singkat pada Oktober dan November tetapi mengalami kecederaan hamstring dan sejak itu tidak bermain. Pemain itu berkata dia menyasarkan untuk beraksi di Piala Dunia.
Jurulatih pasukan, Jorge Jesus baru-baru ini berkata, “Dia tidak lagi beraksi di tahap seperti dulu. Malangnya, keadaan semakin sukarnya.”- AFP