Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Neymar belum pulih sepenuhnya

    RIO DE JANEIRO, 28 Mei – Neymar mengumumkan hari ini dia belum cergas 100 peratus selepas pembedahan tulang kaki kanan yang retak, namun penyerang Brazil itu berkata dia bersedia beraksi mewakili negaranya pada Piala Dunia.

    “Saya belum 100 peratus cergas. Hanya masa akan menentukan. Saya masih takut untuk memberikan segala-galanya namun masih ada beberapa hari sebelum bermula,” kata bintang Paris Saint-Germain di ibu pejabat bola sepak Brazil di sini.

    “Pastinya akan mengambil masa untuk kebimbangan ini hilang tetapi saya sudah bersedia untuk bermain. Tiada apa akan menghalang saya,” kata Neymar beberapa jam sebelum penerbangan ke London di mana pasukannya akan meneruskan persediaan ke Piala Dunia.

    Pemain termahal dunia itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan pada perlawanan liga Perancis menentang Marseille 25 Februari lalu, namun Neymar dilihat berlatih sejak 10 hari lalu dan menyertai kem persediaan pasukan kebangsaan di Teresopolis minggu ini.

    “Secara fizikalnya, saya rasa baik. Kaki saya baik. Sudah tentulah saya akan sesuaikan diri terhadap perkara tertentu. Saya rasa agak kurang selesa tetapi ia tidak akan menghalang saya daripada bermain,” katanya.

    Neymar ketika keluar dari bas menuju ke pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Galeao di Rio de Janeiro, Brazil, kelmarin. Neymar mengumumkan dia belum cergas 100 peratus selepas pembedahan tulang kaki kanan yang retak. – AFP

    Pemain berusia 26 tahun itu turut mengenang kembali pengalaman Piala Dunia 2014 di laman sendiri yang mengecewakan, kecederaan belakang yang menyebabkannya tidak dapat beraksi dan menyebabkan Brazil tewas 1-7 pada separuh akhir.

    “Satu impian beraksi dalam satu lagi Piala Dunia, impian yang saya harap tidak akan diganggu lagi,” katanya.

    Brazil akan beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan sebelum bertandang ke Rusia, dengan perlawanan persahabatan menentang Croatia di Anfield pada 3 Jun sebelum berdepan Austria pada 10 Jun nanti.

    Juara dunia lima kali itu akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Switzerland pada 17 Jun di Rostov-on-Don. Brazil kemudiannya berdepan Costa Rica pada 22 Jun di Saint Petersburg dan Serbia di Moscow pada 27 Jun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda