Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Neymar dipalit kontroversi baharu

    SAO PAULO, 29 DIS – Pemain bintang bola sepak Brazil, Neymar menjadi tumpuan kontroversi baharu selepas beberapa laporan media Brazil menyatakan pemain tersebut akan menganjurkan pesta besar sempena Tahun Baharu meskipun ketika berlaku penularan pandemik koronavirus, namun dakwaan tersebut dinafikan oleh peguamnya.

    Acelmo Goes, seorang penulis untuk akhbar O Globo, menulis bahawa penyerang Paris Saint-Germain itu menganjurkan pesta untuk 500 orang di rumah agam mewahnya berhampiran pantai di Rio de Janeiro, bermula pada Sabtu dan akan berakhir sehingga Tahun Baharu.

    Neymar, seorang pemain yang tidak asing dengan kontroversi mengenai anjuran pesta, didakwa turut memasang peralatan kalis bunyi bagi mengelak mengganggu jirannya.

    Leo Dias, penulis untuk laman web Metropoles, turut menamakan artis yang bakal membuat persembahan pada pesta tersebut, seperti Ludmilla dan Wesley Safadao.

    Telefon bimbit tetamu didakwa dirampas di pintu masuk bagi mengelak sebarang bukti disiar di media sosial.

    Brazil mencatat jumlah jangkitan COVID-19 kedua terbesar dengan kadar kematian lebih daripada 191,000 orang sementara 7.4 juta orang dijangkiti oleh virus.

    Agensi pakar acara, Agencia Fabrica, mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa mereka menerima kontrak bagi acara pada Tahun Baharu di kawasan Costa Verde, tempat letaknya vila milik Neymar ‘yang akan menerima kira-kira 150 orang…namun mematuhi semua peraturan kesihatan yang dikuatkuasa oleh badan awam.”

    Akan tetapi peguam Neymar menafikan pesta yang dirancang atau acara yang dinyatakan oleh Agencia Fabrica mempunyai hubung kait dengan bintang bola sepak itu.

    “Tidak! Itu adalah acara Fabrica. Tiada hubungan dengan Neymar,” beritahu mereka kepada AFP. – AFP

    Aksi Neymar semasa menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Brazil. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda