SANTOS, 6 FEB – Neymar melakukan beberapa rembatan kencang dari tepi kotak penalti dan juga melepasi jangkaan dirinya apabila beraksi selama 52 minit dalam perlawanan pertamanya di kelab Brazil, Santos sejak kepulangannya minggu lalu.
Kemudian dia mengambil kesempatan untuk menyindir bekas jurulatihnya di Al-Hilal, Jorge Jesus, yang telah meragui prestasi dirinya untuk bermain.
Bagaimanapun, penyerang berusia 33 tahun itu tidak dapat menyempurnakan malamnya di Stadium Vila Belmiro apabila Santos seri 1-1 dengan Botafogo Ribeirao Preto.
“Saya memerlukan lebih banyak minit, lebih banyak perlawanan. Saya tidak 100%, tetapi saya tidak menjangka boleh beraksi selama itu pada malam ini,” kata Neymar, yang sedang pulih daripada pembedahan ACL, kepada wartawan. “Saya akan menjadi lebih baik tiga, empat perlawanan dari sekarang.”
Dia menggantikan Gabriel Bontempo selepas rehat dan segera menjadi tumpuan apabila menjadi pemain paling banyak dikasari dengan lima cabaran daripada pasukan lawan pada separuh masa kedua.
Neymar juga melakukan enam percubaan ke arah gawang selain memberikan 22 hantaran yang mana sebahagian daripadanya setajam ketika zamannya.
Kelab Arab Saudi Al-Hilal menamatkan kontrak Neymar dengan persetujuan bersama minggu lalu, enam bulan lebih awal, selepas dia bermain hanya tujuh perlawanan sejak September 2023. Kecederaan ACL yang dihadapinya mengetepikan dia selama setahun sehingga Oktober.
“Saya tahu bahawa saya akan menunjukkan sesuatu yang berbeza di atas padang,” kata Neymar kepada saluran Brazil, CazeTV di Stadium Vila Belmiro. “Padang adalah satu-satunya tempat di mana saya boleh mempertahankan diri daripada kritikan dan komen itu.”
Neymar telah menandatangani kontrak selama enam bulan dengan Santos, yang menurutnya boleh dilanjutkan.
Neymar bermain 225 perlawanan untuk Santos dalam tempoh pertamanya. Dia menjaringkan 138 gol, kebanyakannya adalah jaringan penting dalam memenangi enam kejuaraan kelab.
Neymar juga adalah pemain paling mahal dalam sejarah bola sepak apabila dia berpindah dari Barcelona ke PSG dengan harga AS$262 juta pada 2017. Dia telah dijual kepada Al-Hilal pada 2023 dengan harga AS$94 juta. – AFP