RIO DE JANEIRO, 2 JUN – Bintang penyerang Brazil dan Paris Saint-Germain, Neymar hari ini menafikan dakwaan rogol seorang wanita, yang menuduhnya menyerang secara seksual di sebuah hotel di Paris, dengan bapa Neymar mendakwa dia menjadi mangsa peras ugut.
Menurut satu aduan yang difailkan dengan polis Sao Paolo dan laporan yang dibuat oleh laman sesawang UOL dan GloboEsporte, pemain bola sepak termahal dunia itu dituduh ‘menggunakan kekerasan untuk melakukan seks dengan mangsa tanpa kerelaannya’.
“Saya dituduh merogol, ia satu perkataan yang besar, sangat kuat, tetapi itu terjadi,” kata Neymar dalam satu video berdurasi tujuh minit di Instagram.
“Ia mengejutkan saya, ia benar-benar perkara buruk dan menyedihkan kerana sesiapa yang kenal saya pasti tahu bahawa saya bukan orang seperti itu dan tahu bahawa saya tidak akan pernah melakukan perkara sedemikian,” jelasnya. – AFP
