PARIS, 29 NOV – Neymar menjaringkan gol ke-50 untuk Paris Saint-Germain (PSG) ketika seri 2-2 menentang Bordeaux semalam, sekali gus memberi amaran pendahulu Ligue 1 itu perlu memperbaiki prestasi mereka menjelang pertemuan Liga Juara-Juara menentang Manchester United.
Pemain termahal dunia itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti sekali gus muncul pemain paling pantas meraih jumlah jaringan itu untuk PSG mengatasi Zlatan Ibrahimovic. Moise Kean kemudian meletakkan PSG di depan sebelum Yacine Adli menyamakan kedudukan untuk Bordeaux dan membawa pulang satu mata.
Ia keputusan mengecewakan bagi juara bertahan itu yang minggu lalu tewas 2-3 di Monaco dan kedudukan mereka di atas liga mampu dipintas pesaing terdekat.
“Jika kami tidak memperbaiki prestasi, ia pasti akan menyukarkan kami pada saingan liga serta Liga Juara-Juara,” kata Neymar menjelang kunjungan ke Old Trafford, pada Rabu ini.
PSG sekali lagi kehilangan pemain utama pada musim ini, dengan penjaga gawang Keylor Navas dan kapten Marquinhos antara mereka yang tidak hadir di Stadium Parc des Princes yang kosong. Namun, sedikit demi sedikit PSG cuba meredakan kebimbangan yang semakin meningkat sejak mereka berjaya mengalahkan RB Leipzig pada pertengahan minggu lalu walaupun dengan prestasi tidak menyenangkan.
“Kami sedar betapa penting perlawanan pada Rabu ini. Kami tidak beraksi dengan baik ketika bertemu Leipzig tetapi akhirnya mencatatkan kemenangan.
“Rabu ini kami akan cuba mempamerkan aksi terbaik. Kami perlu beraksi sebagai satu pasukan, jika tidak pasti sukar,” katanya. Kekalahan kepada United di Old Trafford menyaksikan naib juara musim lalu itu nyaris tersingkir awal pada peringkat kumpulan.
Neymar dibeli dengan jumlah 222 juta euro (AS$264 juta) pada bulan Ogos 2017, di mana dia hanya memerlukan 58 perlawanan untuk menjaringkan 50 gol di Ligue 1, lebih sedikit daripada pemain lain. Sementara Ibrahimovic memerlukan 59 perlawanan untuk mencapai kejayaan itu. – AFP
