PARIS, 21 Ogos – Neymar cemerlang dari minit pertama hingga akhir dalam penampilan pertamanya di gelanggang Paris Saint-Germain (PSG), menjaringkan dua gol dalam kemenangan bergaya 6-2 ke atas Toulouse dalam aksi Ligue 1 awal pagi tadi.
Bintang Brazil itu telah terlibat dalam semua yang dilakukan oleh pasukan barunya di Parc des Princes ketika mereka cuba bangkit daripada ketinggalan mengejut kepada gol Max Gradel.
Neymar mendapat gol penyamaan dan pemain bernilai 222 juta itu kemudian melengkapkan kemenangan besar itu dengan bergaya selepas gol-gol daripada Adrien Rabiot, penalti Edinson Cavani, Javier Pastore dan Layvin Kurzawa.
Marco Verrati telah dilayangkan kad merah buat PSG di pertengahan separuh masa kedua dan Toulouse pada satu ketika cuba bangkit dengan menjadikan kedudukan 3-2, tetapi mereka akhirnya ditundukkan oleh pemain termahal dunia itu.
“Saya rasa sangat gembira dan tenang. Saya menyesuaikan diri sepantas mungkin. Secara fizikalnya saya lebih bagus dan masih boleh memperbaiki diri,” kata pemain berusia 25 tahun itu selepas perlawanan.
Ia adalah kemenangan ketiga PSG dalam beberapa perlawanan liga musim ini dan mereka telah menyertai juara bertahan Monaco dan Saint-Etienne dengan maksimum sembilan mata.
Saint-Etienne akan berkunjung ke ibu negara Perancis Sabtu ini dan akan maklum dengan bahaya PSG selepas persembahan terbaru dari bintang PSG itu.
Neymar terlibat dalam kesemua gol-gol pasukannya dalam kemenangan 3-0 minggu lepas di Guingamp, menjaringkan satu gol dalam perlawanan pertamanya sejak perpindahan rekod dunia, dan dia sekali lagi menjadi arkitek dalam semua gol di sini. – AFP