PARIS, 24 Ogos – Paris Saint-Germain dan bintang Brazil, Neymar, menghadapi “ujian besar pertama” mereka musim ini esok di gelanggang sendiri menentang Saint-Etienne ketika kedua buah pasukan memburu kemenangan keempat mereka.
Neymar menyerlah dalam kemunculannya di Parc des Princes hujung minggu lalu, menjaringkan dua gol ketika dia memberikan ancaman terhadap pemain pertahanan Toulouse menerusi kemenangan 6-2, tetapi Saint-Etienne adalah satu-satunya pasukan yang belum pernah bolos musim ini. Bekas pemain midfield Barcelona, Oscar Garcia melanjutkan kejayaannya setelah menggantikan Christopher Galtier sebagai jurulatih Siant-Etienne pada Jun lalu, dengan pasukannya mengutip mata maksimum untuk menyamakan kedudukan di tangga teratas bersama PSG dan juara Monaco.
“Ia adalah ujian besar pertama bagi kami menentang Saint-Etienne,” kata jurulatih PSG, Unai Emery. ‘Mereka sudah mempamerkan persembahan yang bagus dan mengutip sembilan mata.” Saint-Etienne menjaringkan gol di saat-saat akhir bagi keputusan seri dalam kunjungan mereka baru-baru ini ke Paris dan kapten pasukan, Loic Perrin berkata mereka tidak perlu takut apa-apa pada hujung minggu ini.
“Kami bernasib baik untuk memulakan musim dengan baik. Kami akan pergi ke Paris tanpa perlu merasa takut. Apabila anda melihat skuad mereka, ia satu lagi dunia lain,” kata Perrin, yang menambah tidak ada perancangan tertentu untuk mengekang Neymar. – AFP