RIO DE JANEIRO, 28 Feb – Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar memerlukan ‘sekurang-kurangnya enam minggu’ untuk pulih daripada tulang retak pada kakinya dan akan terlepas dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid minggu depan.
“PSG tahu bahawa mereka tidak dapat bergantung pada Neymar bagi perlawanan seterusnya, rawatannya memerlukan enam hingga lapan minggu, sama ada melalui pembedahan atau tidak,” kata Neymar Senior kepada ESPN Brasil.
Bintang Brazil itu mengalami kecederaan itu, serta buku lali terseliuh, dalam satu insiden di penghujung perlawanan menentang Marseille, yang berkesudahan PSG menang 3-0.

Jurulatih PSG, Unai Emery sebelum ini berkata bahawa ‘tiada keputusan’ telah dibuat mengenai pembedahan, menafikan laporan awal media Brazil bahawa pemain termahal dunia itu perlu menjalani pembedahan untuk merawat retakan tulang pada kaki kanannya.
Akhbar Brazil itu, Globo Esporte mendakwa bahawa satu keputusan telah dicapai bagi Neymar menjalani pembedahan dan pemain berusia 26 tahun itu akan diketepikan sehingga bulan Mei. – AFP