RIO DE JANEIRO, 30 OGOS – Nike berkata kelmarin bahawa mereka telah menamatkan kerjasama dengan pemain bintang Brazil, Neymar, mengakhiri salah satu tawaran penajaan terkenal selama satu dekad setengah selepas menandatangani penyerang itu sebagai remaja sensasi pada usia 13 tahun.
“Kami boleh mengesahkan bahawa Neymar tidak akan menjadi seorang atlet Nike,” kata jurucakap gergasi pakaian sukan dari Amerika Syarikat (AS), Josh Benedek, dalam sebuah e-mel yang dikirim kepada AFP, tanpa memberikan butiran lebih lanjut.
Laporan media berkata pemain Paris Saint-Germain berusia 28 tahun itu sedang dalam perbincangan dengan seteru Nike, iaitu Puma yang berasal dari Jerman.
Laman berita Brazil, OUL berkata bahawa Neymar dan Nike telah gagal mencapai persetujuan mengenai berapa banyak bayaran akan dibayar untuk memperbaharui kontraknya.
Ia berkata rundingan di antara syarikat dan agen pemain bola sepak itu telah terbantut selama berbulan-bulan.

Pasukan komunikasi Neymar tidak memberikan respons segera terhadap komen. Puma turut tidak memberikan sebarang respons untuk menjawab persoalan mengenai syarikat tersebut sedang dalam rundingan untuk menandatanganinya.
Akbar Brazil, Folha de Sao Paulo berkata perjanjian terakhir Neymar bersama Nike merupakan kontrak selama 11 tahun yang bakal mansuh pada 2022, bernilai AS$105 juta.
Neymar yang masih berduka selepas kekalahan tipis dalam final Liga Juara-Juara di tangan Bayern Munich, memegang rekod pemain termahal dalam sejarah bola sepak.
PSG telah membayar 222 juta euro untuk membawa Neymar meninggalkan Barcelona pada 2017.
Majalah Forbes, menyenaraikan Neymar sebagai selebriti ke-7 termahal di dunia, dengan anggaran pendapatan tahun ini sebanyak AS$95.5 juta, termasuk perjanjian bersama penaja.
Neymar yang menandatangani perjanjian pertamanya bersama Nike ketika menjadi pemain yang menyerlah bersama kelab Brazil, Santos, yang telah menyertai Barcelona pada tahun 2013.
Syarikat ini menaja banyak nama paling ikonik dalam sukan termasuk Michael Jordan, LeBron James, Cristiano Ronaldo, Serena Williams, Tiger Woods dan Rory McIlroy. – AFP