PARIS, 30 JULAI – Pemain tengah Paris Saint-Germain, Marco Verratti berkata, Neymar tidak pernah memberitahunya dia mahu meninggalkan kelab itu.
Naib Presiden Barcelona, Jordi Cardoner berkata pada akhir Jun lalu, penyerang Brazil itu berhasrat kembali ke Camp Nou.
“Saya tak pernah dengar dia mahu tinggalkan kelab ini,” kata Verratti kepada stesen televisyen Perancis, RMC malam tadi.
“Selain itu saya tidak tahu apa yang diperkatakannya kepada kelab tetapi jika ada pemain mahu pergi, kelab sepatutnya membenarkannya. Sudah tentu bergantung juga keadaan kewangan kelab dipersetujui tetapi anda tidak boleh terus menyimpan pemain tiada hati bersama kelab,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
Pemain termahal dunia itu yang menyertai juara Perancis dengan harga 222 juta euro masih belum beraksi dalam jelajah pramusim di Asia dan media melaporkan dia turut tersisih aksi menentang Sydney FC di China malam ini.
Dia juga tidak beraksi dalam Piala Juara Perancis menentang Rennes di Shenzen pada Sabtu depan sekali gus melengkapkan hukuman gantung enam perlawanan aksi domestik selepas terbabit pergaduhan dengan penyokong pada final Piala Perancis musim lalu.
“Sudah tentu saya sedih jika dia meninggalkan kami, dia pemain yang hebat,” kata Verratti yang turut tidak beraksi menentang kelab Australia itu.
“Tetapi itu antara dia dan kelab,” kata pemain antarabangsa Itali itu. – AFP
