NFABD bakal anjur tiga liga

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Dengan aspirasi untuk meningkatkan standard bola sepak di negara ini, Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) sedang merancang untuk menganjurkan tiga liga tahun depan iaitu Liga Kebangsaan, Liga Belia dan Liga Futsal.

Peraturan menetapkan pemain dalam liga futsal tidak dibenarkan bagi bersaing dalam liga bola sepak kebangsaan begitu juga sebaliknya. Oleh yang demikian, para pengendali kelab perlu mencari pemain yang berlainan untuk pasukan mereka.

Dengan jadual yang padat tahun depan dan tahun berikutnya, ahli-ahli persatuan dan pasukan bola sepak tempatan diharap dapat bekerjasama untuk persediaan dan perancangan awal atas nama pembangunan bola sepak.

Kepentingan bekerjasama ditekankan oleh presiden NFABD yang baharu dilantik, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasanin dalam ucapan pembukaan sesi muzakarah dengan NFABD yang diadakan di NFABD House.

Seramai 60 orang wakil daripada pelbagai kelab bola sepak di negara ini telah menghadiri muzakarah tersebut.

Pengiran Haji Matusin semasa pembukaan sesi muzakarah bersama NFABD yang diadakan di NFABD House.

Pengiran Haji Matusin menekankan “Dengan aspirasi untuk mengangkat dan meningkatkan tahap prestasi bola sepak Brunei bukan sahaja di dalam negara tetapi juga ke peringkat antarabangsa, kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan perlu mengharunginya dengan bekerjasama.

Perkembangan bola sepak, beliau menjelaskan tidak hanya bergantung kepada NFABD tetapi juga melibatkan kerjasama anggota persatuan termasuk penglibatan pasukan bola sepak tempatan.

Mengulas mengenai kerjasama, beliau berkata “Pihak persatuan akan memberikan bantuan seperti peningkatan pengurusan dan kejurulatihan serta lainnya. Sementara itu, pengurusan dan pentadbiran setiap kelab bola sepak perlu menggunakan latihan bersistematik bagi meningkatkan taraf kelab, pengurusan dan pentadbiran, kejurulatihan dan kemahiran serta yang lain. Kita perlu membuat persiapan dan perancangan supaya kita dapat bergerak bersama dengan mantap.”

Presiden NFABD menasihatkan kepada kelab bola sepak tempatan dan persatuan bola sepak di setiap daerah dan juga persatuan pengadil untuk memulakan persediaan sekarang, di mana setiap kelab mesti melihat perkara itu de-ngan serius melalui pentadbiran bersistematik dan pengurusan yang teratur.

Jika mereka memerlukan sebarang nasihat atau mempunyai pertanyaan, mereka boleh berhubung dengan NFABD.