Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    NFABD lantik K Rajagobal

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) telah mengesahkan pelantikan K Rajagobal sebagai ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Brunei Darussalam bagi tempoh dua tahun.

    Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matassan membuat pengumuman tersebut semasa sidang media di Rumah NFABD kelmarin.

    Beliau berkata, “Selepas beberapa minggu membuat penilaian dalam permohonan bagi jawatan ketua jurulatih Pasukan Kebangsaan Brunei Darussalam, Jawatankuasa Eksekutif NFABD ingin memaklumkan bahawa NFABD telah melantik K Rajagobal dari Malaysia sebagai ketua jurulatih baharu bagi Pasukan Kebangsaan Brunei Darussalam bagi tempoh dua tahun.”

    Beliau menambah, “Ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Keputusan dibuat berdasarkan beberapa siri dialog setelah mempertimbangkan aspek teknikal dan kewangan.”

    Beliau turut mendedahkan bahawa mereka telah menerima permohonan dari Jerman, Serbia dan beberapa permohonan dari rantau ini.

    Pengiran Haji Matusin semasa sesi sidang media yang diadakan di Rumah NFABD untuk mengumumkan pelantikan K Rajagobal sebagai jurulatih Pasukan Kebangsaan Brunei Darussalam yang baharu.

    “Adalah menjadi harapan NFABD dan peminat bola sepak di negara ini agar K Rajagobal akan dapat membawa Pasukan Kebangsaan Brunei Darussalam ke peringat yang lebih tinggi.”

    Jurulatih yang baharu dilantik akan boleh memacu pemain kebangsaan untuk bersaing di peringkat kejohanan serantau atau antarabangsa terutama dalam pusingan kelayakan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Piala Suzuki.

    Semasa kendalian K Rajagobal sebagai ketua jurulatih, Malaysia berjaya memenangi Sukan Asia Tenggara (SEA) pada 2009 dan Kejohanan AFF pada 2010.

    “Pencapaian ini mendorong NFABD untuk memberi pertimbangan serius kepada pencapaian K Rajagobal. Selain itu, pemohon lain turut mempunyai pencapaian yang serupa tetapi belum mencapai peringkat juara.”

    Presiden NFABD menekankan bahawa pemain kebangsaan mungkin menerima manfaat dari pengalaman yang diterima semasa bergelar sebagai pemain dan karier sebagai jurulatih.

    Beliau menambah bahawa K Rajagobal adalah tidak asing lagi bagi bola sepak Brunei Darussalam di mana pasukan kebangsaan pernah bermain di Piala Malaysia ketika pengurus tersebut mengendalikan dan bermain untuk kelab Malaysia.

    Beliau berkata, “Oleh itu, beliau boleh memahami situasi pemain Brunei dan saya yakin bahawa ini akan menjadi satu bonus untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan.”

    K Rajagobal akan menerapkan kakitangan beliau sebagai sebahagian daripada pasukan kejurulatihan dan akan dibantu oleh jurulatih tempatan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda