NFABD, OFA lakar mercu tanda baharu

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) menandakan satu peristiwa bersejarah berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bolasepak Oman (OFA) di Pusat Pemasaran Komersial Perniagaan (BMCC) Kolej IGS di Kampung Kiulap hari ini.

NFABD mengatakan bahawa MoU tersebut bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran antara kedua-dua persatuan bola sepak dan juga mengadakan perlawanan persahabatan.

Ia juga akan melihat kerjasama dari segi pertukaran pengetahuan, terutamanya dalam tadbir urus di mana kedua-dua persatuan bola sepak akan berkongsi praktikal terbaik untuk pentadbiran yang lebih baik, berkesan dan lebih cekap bermula pada 2023.

Hadir bagi menandatangani bagi pihak NFABD ialah Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan sambil disaksikan oleh Setiausaha Agung NFABD, Mohammad Shahnon bin Haji Mohd Salleh.

Sementara itu, OFA diwakili oleh Ketua OFA, Sheikh Salim Al-Wahaibi dan disaksikan oleh Setiausaha Agung OFA, Fahad Abdullah Al-Raisi.

Pengiran Haji Matusin dalam ucapannya mengatakan, “Jelas MoU ini adalah sebagai usaha untuk memperkuat hubungan sukan yang sihat, tidak hanya antara dua persatuan bola sepak, tetapi juga antara kedua-dua negara.

“NFABD mengalu-alukan peluang untuk program pertukaran. Walaupun situasi COVID-19 mungkin menyekatnya, platform online adalah alternatif.

“NFABD mengakui bahawa kejayaan MoU adalah usaha kolektif dari kedua-dua persatuan bola sepak kebangsaan dan pihak NFABD juga bergantung kerjasama dengan pihak berkepentingan iaitu Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS),” tambahnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Belia dan Sukan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said dan Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Sheikh Ahmed bin Hashil Al-Maskari.

Presiden NFABD dan Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam semasa majlis penandatanganan MoU berkenaan. – Gambar oleh James Kon