Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    NGO Sepanyol selamatkan 59 penghijrah

    MADRID, 1 Julai – NGO Sepanyol semalam berkata ia telah menyelamatkan 59 orang penghijrah ketika mereka cuba menyeberangi Mediterranean dari Libya dan akan berlabuh di Sepanyol selepas Itali dan Malta enggan menerima mereka.

    Berita itu muncul sehari selepas tiga anak damit ditemui mati dan 100 orang lagi hilang dalam nahas kapal di perairan Libya di mana Proactiva Open Arms yang berkata kejadian itu berpotensi untuk dielakkan.

    Bot penyelamat amal milik Proactiva Open Arms berada di kawasan itu.

    Ia juga menyusuli perjanjian berkontroversi yang telah dicapai oleh negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) untuk menahan ketibaan penghijrah-penghijrah.

    Perjanjian telah dimeterai Jumaat lalu termasuklah menubuhkan pusat-pusat keselamatan bagi para penghijrah di blok itu, ‘platform pendaratan’ di luar blok dan mengongsi para pelarian di kalangan negara-negara anggota.

    NGO Sepanyol itu berkata melalui Twitter bahawa 59 penghijrah kini berada di dalam kapal mereka, Open Arms ‘menuju pelabuhan terjamin’.

    “Di sebalik halangan ini, kami terus melindungi hak untuk hidup bagi mereka yang tidak dapat dilihat. Kisah-kisah mereka tentang pengalaman mereka di Libya adalah menggerunkan.”

    Dalam tindak balas kepada usaha menyelamat itu, Menteri Dalam Negeri Itali yang berpendirian tegas, Matteo Salvini berkata melalui Facebook “Pelabuhan terdekat ialah Malta, pertubuhan dan bendera adalah Sepanyol; mereka boleh lupakan untuk datang ke pelabuhan Itali.” Akhirnya NGO berkata mereka telah diberikan kebenaran untuk berlabuh di Barcelona, dengan menambah kata mereka akan tiba Rabu ini.

    Kerajaan populis Itali yang baharu dan Malta pada awal bulan ini enggan membenarkan kapal penyelamat NGO Perancis, Aquarius yang membawa 650 orang penghijrah untuk berlabuh. Langkah itu mencetuskan tentangan keras antarabangsa sebelum Sepanyol tampil untuk membantu.

    Malta kemudian membenarkan kapal penyelamat amal lain, Lifeline untuk berlabuh bersama 230 orang penghijrah di dalamnya.

    Proactiva Open Arms juga menuduh pengawal pantai di kawasan itu menghalang kerja mereka ketika negara-negara seperti Itali mengambil pendirian tegas terhadap ketibaan para penghijrah itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda