KOCAELI, 6 Nov – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Istanbul menggesa kumpulan lain di Turki berganding bahu untuk membantu kanak-kanak Rohingya yang menjadi yatim piatu akibat keganasan di negeri Rakhine, Myanmar, lapor Agensi Berita Anadolu.
Bercakap pada satu acara yang dinamakan “The Rakhine State Awaits Help” di Kocaeli, barat laut Turki, Ismail Yilmaz, pemimpin Persatuan Solidariti dan Kebebasan Mavi Marmara, berkata: “Marilah kita mendirikan kem-kem untuk kesemua kanak-kanak ini dan menerima mereka di sana.
“Sebahagian daripada sejumlah 700,000 orang Islam Rohingya yang lari ke Bangladesh, 350,000 terdiri daripada kanak-kanak, katanya.
“Kira-Kira 30,000 daripada mereka merupakan yatim piatu. Hampir 15,000 daripada mereka tidak ditemani sesiapa. Kita patut menjaga mereka,” katanya.
Keluarga Rohingya masih menyeberangi Sungai Naf untuk memasuki Bangladesh bagi melarikan diri daripada apa yang disifatkan oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “pembersihan etnik” oleh pihak tentera.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P16-B_071117.jpg)
Turki berada di barisan hadapan dalam menyediakan bantuan kepada pelarian Rohingya, dan Presiden Recep Tayyip Erdogan telah membangkitkan isu itu di PBB.
Yilmaz membandingkan nasib yang menimpa penduduk Palestin dengan orang Islam Rohingya dan berkata: “Saudara kita orang Islam Rohingya kini mengalami nasib yang sama dengan saudara Palestin kita yang telahpun mengalaminya lebih 60 tahun.”
“Hari ini hanya kira-kira 600,000 daripada hampir 4 juta orang Islam Rohingya masih tinggal di wilayah mereka sendiri,” katanya sambil memberi penekanan kepada keseriusan krisis itu.
Sejak 25 Ogos, lebih 607,000 orang Islam Rohingya telah menyeberangi negeri Rakhine yang terletak di barat Myanmar untuk ke Bangladesh, menurut PBB.
Pelarian terbabit melarikan diri daripada satu operasi ketenteraan yang menyaksikan pasukan keselamatan dan penjarah agama Buddha membunuh golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak, merompak kediaman serta membakar kampung-kampung orang Islam Rohingya. – Bernama