Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    NHANSS-3 catat perkembangan positif dalam aktiviti fizikal

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Fasa Pertama Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan ke-3 (NHANSS-3) yang menumpukan kepada orang dewasa berusia 18 hingga 69 tahun, melihat kepada faktor-faktor risiko bagi penyakit tidak berjangkit seperti penggunaan tembakau, kurang membuat aktiviti fizikal dan pemakanan yang tidak sihat, telah selesai dilaksanakan pada Oktober 2023.

    Daripada fasa pertama itu, terdapat dapatan awal yang amat memberangsangkan di mana penduduk negara didapati menunjukkan perkembangan positif dari segi aktiviti fizikal serta pemakanan sayur-sayuran dan buah-buahan.

    “Peningkatan dalam bidang-bidang berkenaan mencerminkan bahawa inisiatif-inisiatif dalam usaha promosi kesihatan kebangsaan memberikan kesan,” jelas Pakar, Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr Ong Sok King, dalam sidang media mengenai NHANSS-3, fasa kedua yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Beliau menambah bahawa dari segi makanan dan analisis data bagi keseluruhan kaji selidik berkenaan, hasil dapatan akhir akan dikongsi kepada semua pihak yang berkepentingan serta juga di laman sesawang Kementerian Kesihatan apabila semuanya telah dimuktamadkan.

    Manakala itu, Pemangku Pegawai Kesihatan Kanan, Kementerian Kesihatan, Dr Lubna binti Haji Abdul Razak ketika mengulas mengenai sasaran dalam melaksanakan fasa kedua kaji selidik berkenaan, beliau menyatakan bahawa sasarannya adalah sebanyak 4,300 buah kediaman.

    Dr Lubna (kanan) menunjukkan cenderahati Pinggan Sihat yang diberikan kepada mereka yang menyertai kaji selidik. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Manakala itu, mengenai cabarannya pula, beliau menyatakan bahawa setentunya mereka akan berhadapan dengan cabaran-cabaran dalam pelaksanaannya di mana kaji selidik itu adalah secara sukarela tetapi berharap mereka yang terpilih akan memberikan kerjasama kepada para pembantu penyelidik yang bertugas.

    Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya pembantu penyelidik mendapati sebarang keputusan yang luar daripada normal daripada ujian yang dilakukan semasa pemeriksaan seperti tekanan darah tinggi, mereka akan memberikan borang rujukan bagi menggalakkan mereka untuk berkunjung ke pusat kesihatan yang berdekatan supaya mereka dapat diperiksa dengan lebih terperinci.

    Di samping itu, beliau menyatakan bahawa pada Disember lalu, memandangkan ia merupakan hujung tahun dan ramai orang dalam kalangan rumah-rumah yang terpilih sedang bercuti, maka pihaknya akan membuat kunjungan kepada rumah-rumah berkenaan untuk melaksanakan kaji selidik pada Januari ini.

    Dr Lubna turut mengongsikan bagi fasa kedua kaji selidik berkenaan, selain daripada baucar $5 yang diberikan kepada mereka yang menyertai kaji selidik berkenaan, pihaknya juga memberikan cenderahati berupa barangan eksklusif iaitu Pinggan Sihat, di mana ia merupakan barangan yang unik dan akan diberikan kepada kediaman yang mempunyai kanak-kanak berusia bawah lima tahun dengan harapan mereka akan mempelajari mengenai saiz jenis makanan yang disyorkan.

    Beliau menerangkan bahawa pinggan itu merupakan hanya sebagai panduan sahaja dan jika ibu bapa ingin mempelajari dengan lebih mendalami mengenai saiz jenis makanan bagi pemakanan yang sihat, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang Pusat Promosi Kesihatan dan Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda