Friday, April 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ni Hsin pasarkan produk Wonder Chef di ASEAN

    KUALA LUMPUR, 5 OGOS – Ni Hsin Corporation Sdn Bhd (NHC), pengeluar pelbagai peralatan memasak keluli tahan karat premium menandatangani Perjanjian Pengedaran Eksklusif (EDA) dengan Wonder Chef Co Ltd, Jepun. Di bawah perjanjian itu, NHC akan memasarkan produk Wonder Chef dalam ASEAN terutamanya kuali dan periuk tekanan.

    Pengarah Urusannya Khoo Chee Kong berkata perjanjian itu berkuat kuasa hari ini untuk tempoh lima tahun dengan pilihan pembaharuan konsensus kedua-dua pihak, akan menyaksikan produk tersebut diedarkan di Malaysia pada tahun ini, diikuti Singapura, Thailand dan Indonesia bagi tahun-tahun berikutnya.

    “Kami menyasarkan mempunyai sekurang-kurangnya 10 ejen tempatan utama sebagai pengedar utama pada tahun ini merangkumi usahawan individu dan syarikat mikro,” katanya kepada pemberita selepas memeterai EDA di sini hari ini.

    NHC ialah anak syarikat milik penuh Ni Hsin Resources Bhd.

    Khoo berkata syarikat itu menyasar jualan antara RM1 juta hingga RM2 juta bagi produk Wonder chef pada tahun ini sebelum menggandakan nilai itu sebaik sahaja ia berkembang ke negara-negara ASEAN.

    “Kami juga berhasrat meneroka pasaran lain seperti Timur Tengah, namun, buat masa ini, tumpuan kami ialah ASEAN berikutan wujud permintaan ke atas peralatan memasak yang berkualiti di rantau ini.

    “Ini dipacu oleh taraf kualiti kehidupan dan pendapatan yang semakin baik,” katanya, dan menurutnya populasi ASEAN seramai 660 juta itu adalah pasaran penting untuk meneroka China dan India.

    Produk Wonder chef akan dihasilkan di peringkat tempatan oleh NHC menerusi OEM dan dibuat berpandukan standard kualiti Jepun.

    Menurut Khoo, walaupun syarikat itu mempunyai jenama peralatan memasaknya sendiri iaitu ‘Pentoli’ yang telah dipasarkan di China sejak sekian lama termasuk menerusi platform dalam talian seperti 11th Street, namun penjualannya agak perlahan.

    Ketika ini, Pentoli telah mengambil strategi berbeza dengan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi sama ada jenama bersama atau meletakkannya sebagai produk penebusan, kata beliau.

    “Ini sebabnya mengapa kami memilih Wonder Chef berikutan jenama Jepun ini amat terkenal dan wujud melebihi 60 tahun.

    “Perjanjian itu juga menunjukkan keyakinan oleh syarikat yang mempunyai reputasi tinggi terhadap kebolehan kumpulan ini memasarkan dan menjual produk peralatan memasak isi rumah,” kata Khoo.

    Menurutnya, kerjasama baharu itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih NHC dan perolehan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan 31 Disember 2020. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda