Model dan pelakon, Nia Atasha, 28, merasakan tiada sebab untuknya merahsiakan hubungan cinta dengan kekasihnya yang juga pelakon Sky Iskandar, 30.
Nia berkata, itu bukanlah bererti mahu menunjuk-nunjuk hubungan istimewa dengan jejaka yang juga pelakon filem Kahar: Kapla High Council itu.
Pelakon filem Soloz: Game Of Life itu berkata, mereka sangat profesional, malah tiada masalah untuk bekerjasama dalam naskhah sama.
“Kami sedang menjalani penggambaran filem yang turut dibintangi Meerqeen, Elizabeth Tan dan Daiyan Trisha.
“Dalam soal kerja, kami sangat profesional. Ini kerana kami sudah ada pengalaman dalam industri.
“Sebelum ini, kami pernah bekerja bersama sebagai model, jadi tiada masalah bekerja dalam pembikinan filem pula,” katanya yang ditemui selepas majlis tayangan perdana filem Soloz: Game Of Life arahan Syafiq Yusof.
Ditanya perancangan masa depan, Nia berkata, mereka tentunya ada berbincang hala tuju perhubungan, lapor mStar.
Bagaimanapun, katanya, mereka lebih selesa memberikan fokus pada kerjaya sebagai pelakon dan model yang sedang meningkat naik.
“Setiap pasangan kekasih mesti ada hala tuju dalam perhubungan, tapi saya dan Sky mahu fokus pada kerjaya terlebih dahulu.
“Dalam soal kerja pun tiada istilah cemburu. Rasa cemburu tidak perlu timbul, asalkan kami pandai jaga diri, hati dan perasaan. Dan paling penting, tahu batasan.
“Kami sudah besar dan matang, cuma kena pandai jaga diri dan terus kekal profesional,” katanya.
Sementara itu, berkongsi pengalaman berlakon dalam filem biografi dan drama e-sukan itu, Nia berkata, dia tidak kekok meskipun dikelilingi pelakon lelaki. – Agensi