BALIK PULAU – Menjelang Tahun Baharu Cina (TBC), kuih bakul atau ‘Nian Gao’ yang melambangkan tuah dan kemakmuran terus mendapat permintaan tinggi khususnya yang dibuat dengan kaedah tradisional.
Seorang suri rumah Lee Li Yong, 53, yang tinggal di rumah tepi gunung di Jalan Tun Sardon berkata beliau mewarisi kaedah tradisional membuat kuih bakul daripada neneknya.
“Saya mula belajar ketika sekolah rendah lagi dengan membalut daun pisang pada tin silinder dan selepas hampir 10 tahun baru saya dibenarkan untuk menguruskan setiap proses menghasilkan kuih bakul,” katanya kepada Bernama ketika ditemui.
Lee berkata beliau telah membuat kuih bakul selama lebih 30 tahun dan permin-taan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini amat tinggi.
Beliau berkata sebelum ini, keluarganya menggunakan batu pengisar secara manual untuk mengisar beras pulut bagi menghasilkan tepung, yang disifatkan proses paling sukar dalam pembuatan kuih bakul.
“Oleh kerana itu, saya memutuskan untuk membeli mesin yang boleh membantu menjadikan proses itu lebih mudah untuk kami dan dapat menghasilkan lebih banyak kuih bakul, supaya kami dapat menjualnya,” katanya.
Lee berkata kebanyakan proses membuat kuih bakul masih secara tradisional se-perti menggunakan kayu api untuk memasak secara perlahan dan mengukusnya serta menggunakan daun pisang untuk membungkus kuih bakul.
“Ia adalah proses yang panjang dan perlahan, tetapi kami mahu mengekalkan rasa tradisional dalam kuih bakul kami supaya semua orang dapat menikmati kuih bakul ini yang disediakan oleh tiga generasi terakhir,” tambahnya.
Lee yang dibantu oleh ibunya Chen Ah Moy, 78, dan anaknya Tan Zheng Ying, 24, serta saudara-mara dapat menghasilkan hingga 400 kuih bakul pelbagai saiz dalam sehari dan menjualnya pada harga RM4 hingga RM10 bergantung kepada saiz kuih dan lokasi jualan.
“Kami mengagihkan tugas-tugas seperti membelah kayu api, melayur daun pisang di atas api, membuat adunan kuih daripada tepung pulut, air dan gula serta mengisi dalam tin silinder dan mengukus kuih bakul hingga 14 jam,” katanya.
Menurut masyarakat Tiong-hua moden hari ini, bunyi perkataan Nian Gao dalam Mandarin hampir sama dengan perkataan yang bermakna tahun yang lebih tinggi terutama daripada aspek pendapatan.
Kepercayaan itu menggalakkan semua penghuni rumah menghidangkan kuih bakul kepada tetamu selain mengamalkan pembuatan kuih bakul sendiri sebagai menghormati adat resam dan tradisi masyarakat Tionghua.
Sementara itu di Padang Besar, Perlis, Chaing Chai, 66, meneruskan perniagaan keluarganya menjual kuih bakul bagi melengkapkan sambutan Tahun Baharu Cina.
Chaing berkata beliau belajar membuat kuih bakul daripada mendiang ibunya Wong Fung apabila sering membantu menyediakan juadah tradisio-nal itu di dapur sejak berusia 10 tahun, sekali gus perniagaannya itu mengimbau kembali nostalgia bersama mendiang ibunya.
“Bagi saya tidak lengkap sambutan Tahun Baharu Cina tanpa kuih bakul yang menjadi hidangan wajib setiap tahun, sepertimana masyarakat Melayu yang perlu ada rendang dan ketupat untuk hidangan pada pagi raya,” katanya ketika ditemui di pekan Kaki Bukit.
Chaing berkata membuat kuih bakul memerlukan kesabaran kerana proses mengukus mengambil masa kira-kira 10 hingga 12 jam dan kuih bakul yang dimasak sempurna dapat disimpan lama hampir dua tahun serta tidak cepat rosak.
“Untuk mendapatkan aroma dan bau wangi, kuih bakul perlu dimasak menggunakan kayu api,” kata anak jati pekan Kaki Bukit itu yang menghasilkan sebanyak dua tan kuih bakul setiap tahun untuk dipasarkan di Perlis dan Kedah. – Bernama