Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Dengan hasrat untuk meneroka bagaimana kerajaan dan organisasi komersial boleh menggunakan teknologi analisis data geospatial seperti Observe untuk menjana, menerbitkan dan berkongsi maklumat di serata organisasi masing-masing serta melihat secara mendalam aplikasi yang dihasilkan bagi sektor maritim, Observe Martime Domain Awareness, Network Integrity Assurance Technologies Sdn Bhd (NiAT), akan menghoskan webinar pada 17 November ini dari pukul 10 pagi hingga 11 pagi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NiAT, di sini, matlamat utama bagi webinar berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai Hari Geographical Information System (GIS) dan mempromosikan Observe, iaitu platform analisis data berasaskan GIS yang berupaya untuk membangunkan aplikasi untuk mengumpul, menganalisis dan berkongsi maklumat berasaskan lokasi.
Kenyataan menjelaskan lagi bahawa pembentang-pembentang pada webinar berkenaan akan berkongsi pelbagai templat aliran kerja bera-saskan peta yang amat relevan kepada pelbagai operasi.
Semasa webinar itu, NiAT menyatakan bahawa jurutera muda mereka akan membentangkan pelbagai maklumat termasuk maklumat masa sebenar seperti lokasi kapal dan status data, suhu permukaan laut, arus laut, gelombang laut, angin, keadaan ais laut, peta cuaca iaitu masa kini dan ramalan serta pelbagai maklumat statik lain yang boleh dikhususkan lagi untuk memasukkan data pengguna sendiri.
Mereka yang berminat untuk menyertai webinar berkenaan boleh menempah slot dengan menghubungi pasukan Observe menerusi e-mel info@niat.com.bn.