Niat dapat pujian dorong riak

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Umat Islam dituntut untuk memiliki sifat yang terpuji dan menjauhi sifat keji di mana tuntutan yang murni ini adalah bagi memastikan umat Islam mencapai kebahagiaan dan kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Bahaya Sifat Riak’ hari ini menjelaskan, dalam agama Islam, salah satu sifat keji yang amat dibenci dan tercela ialah sifat riak yang merupakan antara penyakit rohani yang sangat berbahaya.

“Orang yang riak, hidup dan jiwanya penuh kebohongan dan kepalsuan semata-mata, ini kerana pada hakikatnya segala amalan baik yang dilakukan hanyalah bertujuan untuk mengharapkan pujian, sanjungan dan penghormatan daripada orang lain,” tegasnya.

Dalam erti kata lain, tegas khatib, ia membuat semua kebaikan itu bukan kerana Allah dan hal ini bertentangan dengan kehendak Islam yang sentiasa menyuruh umatnya supaya beramal atau melakukan perkara kebaikan dan amal kebajikan dengan hati tulus dan ikhlas serta mengharapkan redha Allah.

Kemegahan, kemasyhuran serta lupa akan kebesaran dan keagungan Allah merupakan antara faktor yang mendorong seseorang itu bersifat riak dalam kehidupannya.

Perlu diketahui, kata khatib, bahawa lawan bagi sifat riak itu adalah ikhlas iaitu melakukan amal ibadat dan amal kebajikan semata-mata kerana Allah.

Khatib menegaskan, setiap perbuatan yang dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan sanjungan, walaupun sanggup berjihad berkorban nyawa dan harta, tapi jika dilakukan dengan niat mendapatkan pujian dan penghargaan, Allah tidak akan memandangnya sebagai pahala tapi Allah akan menempatkan dan mencampakkan orang sedemikian ke dalam neraka.

Bahaya sifat riak telah banyak disebutkan dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW dan oleh itu, kita hendaklah sentiasa beringat dan berwaspada terhadap perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat sikap riak.

“Hindarkanlah diri daripada melakukan perkara dengan tujuan untuk disanjung dan dihargai, ini kerana ia boleh membawa kemurkaan Allah,” tegasnya.

Sehubungan itu, umat Islam perlu sama-sama muhasabah diri dengan membetulkan niat dalam melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dan memohon keampunan kepadanya.