Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Mahkamah Majistret Sabtu lalu menjatuhkan hukuman penjara selama dua bulan ke atas seorang warga tempatan berusia 27 tahun yang didapati bersenjatakan tuil besi dengan niat melakukan jenayah.
Mohammad bin Ismail mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya kerana membawa senjata berbahaya dengan niat melakukan jenayah.
Fakta yang didedahkan oleh Pendakwa Raya Ahmad Firdaus Mohammad di mahkamah menyatakan bahawa defendan telah dikesan oleh polis dalam keadaan memakai topeng muka dan membawa tuil besi selepas waktu tengah malam 19 September.
Siasatan mendapati bahawa defendan telah membuat rancangan bersama seorang rakan bersenjatakan tuil besi dan menutup muka mereka untuk pergi ke Jalan Pandan 8, Kuala Belait dengan niat untuk mencuri minyak dari kereta dan harta benda dari sebuah rumah.
Sebelum mereka memulakan kegiatan, beberapa orang pegawai polis telah berkumpul berhampiran kenderaan mereka dan menyebabkan rakan defendan melarikan diri.
Defendan cuba melarikan diri, tetapi selepas dikejar, dia berjaya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Kuala Belait.
Pemangku Majistret Kanan Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid mengendalikan kes tersebut.


