Gara-gara pernah terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah, kemunculan kembali bekas kumpulan Winner iaitu Nam Tae Hyun mengundang rasa kurang senang warganet di Korea Selatan.
Memetik laporan Koreaboo, Tae Hyun sepatutnya mengadakan persembahan di West Bridge Live Hall di Mapo-gu, Seoul, pada Selasa.
Persembahan tersebut sepatutnya menjadi perjalanan baharu kepada Tae Hyun selepas dia tampil single At the Edge of the Night pada Januari lalu.
Bagaimanapun persembahan itu terpaksa dibatalkan tanpa sebab yang dapat dipastikan, namun dipercayai kerana dikecam warganet.
Malah segala perkongsian mengenai persembahan pada malam itu turut dipadam daripada Instagram Tae Hyun.
Sementara itu, pihak penganjur acara itu turut kecewa dengan pembatalan berkenaan malah dia memberitahu Tae Hyun sudah berubah menjadi lebih baik.
“Saya faham betapa sensitifnya perkara itu. Apabila saya bertemu dengannya secara peribadi, saya tahu dia benar-benar menyesal dan mahu membuat persembahan semula,” katanya.
Sebelum ini Tae Hyun meluahkan keinginannya untuk kembali karier dan memulakan perjalanan baharu. Namun hasrat tersebut tidak disambut baik oleh warganet. – Agensi
