Nicol David sedia bantu lahirkan jaguh skuasy dunia

KUALA LUMPUR, 2 JUN – Sebagai salah seorang pemain terunggul sepanjang zaman dalam sukan skuasy wanita dunia, legenda Malaysia, Datuk Nicol Ann David sudah pasti tahu apa yang diperlukan untuk muncul sebagai seorang juara.

Jadi, siapa yang lebih baik jika bukan Nicol sendiri untuk membantu Malaysia melahirkan jaguh di pentas dunia.

Selepas Nicol bersara pada 2019, tiada seorang pun pemain Malaysia dapat mencontohi pencapaiannya yang luar biasa.

Tetapi semua itu kini akan berubah susulan pelancaran Nicol David Organisation (NDO) yang boleh melahirkan penggantinya untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Berkenan hadir merasmikan pelancaran NDO tersebut ialah Yang Di-Pertuan Agong Al Sultan  Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, di Bukit Jalil Golf & Country Resort.

Langkah tersebut melibatkan kanak-kanak berusia antara lapan dan 12 tahun yang menjalani program latihan di NDO boleh mengharapkan sentuhan ajaib Nicol yang akan bertindak sebagai ketua jurulatih dalam organisasi berkenaan yang diasaskan bersama bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes.

“Ia bukan KPI (petunjuk prestasi utama) saya tetapi sudah pasti saya berasa sangat gembira jika kami mampu melahirkan seorang juara suatu hari nanti,” kata Nicol kepada pemberita selepas pelancaran NDO di sini, hari ini.

NDO ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan, yang bermatlamat memperkasakan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan menerusi sukan dan pendidikan.

Selain mengikuti latihan skuasy, NDO turut menyediakan kelas bahasa Inggeris yang dijalankan menerusi kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini.

Nicol, bekas juara dunia sebanyak lapan kali tersebut, berkata bahawa program NDO akan bermula 13 Jun ini dengan melibatkan murid-murid daripada empat sekolah di Lembah Klang. – Bernama