BUCHAREST, 13 JUN – Presiden Romania, Klaus Iohannis kelmarin melantik penyandang Menteri Kehakiman, Catalin Predoiu sebagai perdana menteri sementara berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri Nicolae Ciuca sebagai sebahagian daripada perjanjian gabungan parti pemerintah untuk menggilirkan jawatan perdana menteri, lapor Xinhua.
Menurut Pentadbiran Presiden, Iohannis mengambil maklum mengenai peletakan jawatan Ciuca dan menjemput parti gabungan kerajaan ke Istana Presiden Cotroceni hari ini untuk berunding mengenai pengganti Ciuca.
“Hari ini saya menamatkan tugas saya sebagai perdana menteri Romania. Dengan cara ini, pada peringkat gabungan parti kerajaan, prosedur untuk melaksanakan penggiliran bermula,” katanya dalam kenyataan media.
“Kami mencadangkan agar kerajaan dibentuk selewat-lewatnya pada Khamis dan dengan cara ini, kami boleh terus menangani isu-isu yang menjadi keutamaan, melalui program kerajaan dan untuk setiap perkara yang sepatutnya dibuat kerajaan sesebuah negara,” katanya di Istana Victoria.
Penggiliran itu sepatutnya dibuat pada 25 Mei tetapi mogok guru melengahkan proses berkenaan. Ciuca telah berjanji untuk menyelesaikan konflik buruh sebelum meletak jawatan.
Kesatuan guru Romania kelmarin memutuskan untuk menangguhkan mogok umum mereka selepas tawaran terbaharu kerajaan untuk menaikkan gaji guru.
Mengikut perjanjian yang dicapai antara ahli gabungan parti pemerintah yang mengangkat sumpah pada November 2021, negara itu akan menggilirkan perdana menterinya setiap 18 bulan sebelum pilihan raya parlimen akan datang yang dijangka pada Disember 2024. Ciuca dari Parti Liberal Nasional akan menyerahkan jawatan itu kepada presiden Parti Sosial Demokrat, Marcel Ciolacu sebagaimana dipersetujui. – Bernama